Mengukir nama di puncak dunia

Mengukir nama di puncak dunia

saufi@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Anak muda ini pernah menawan puncak Gunung Everest, menjelajah tujuh benua serta kutub utara dan selatan, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Walaupun berdepan pelbagai rintangan dalam misi membawa nama negara, namun anak muda ini tidak pernah mengalah serta membuktikan segalanya mampu dicapai dengan usaha keras.

Anak muda berkenaan, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih selesa dengan panggilan Qobin percaya bahawa semua anak tempatan mampu menempa nama di pentas dunia dengan usaha keras.

Qobin berkata, beliau tidak pernah menyangka mampu menawan puncak tertinggi dunia serta melakukan pelbagai ekspedisi untuk membawa nama negara.

“Ketika itu, saya hanya berusaha keras untuk membawa nama negara dan berbakti, Alhamdulillah saya amat gembira misi penjelajahan yang dilaksanakan sebelum ini berjaya mencapai matlamatnya.

“Jika menyentuh mengenai rintangan, ia memang banyak, namun kita perlu terus berusaha keras kerana setiap usaha itu pastinya akan membuahkan hasil.

“Sebelum menjejakkan kaki dipuncak Everest, tujuh benua dan penjelajahan ke kutub utara dan selatan, memang ada banyak rintangan yang datang,” katanya.

Menceritakan semula pengalamannya, Qobin berkata, ketika misi menawan Gunung Everest, sokongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) banyak membantu dalam merealisasikan impian.

“Selepas itu, saya menggunakan 80 peratus dana sendiri mendaki ke tujuh benua dan dua kutub.

“Impian ketika itu direalisasikan dengan kerjasama beberapa penaja swasta dalam bentuk barangan, pengangkutan dan peralatan ekspedisi.

“Rintangan cuaca dengan suhu ekstrem negatif 30 darjah Celcius dan perjalanan yang panjang setiap hari amat-amat menguji kekuatan fizikal dan mental di setiap ekspedisi yang dilalui,” katanya.

Beliau berkata, semua rakyat negara ini perlu mempunyai impian melebihi apa yang diinginkan sekali gus, ia akan mendorong seseorang untuk terus berjaya.

Menurutnya, generasi muda pada hari ini perlu fokus dengan impian mereka serta mempunyai disiplin diri yang sangat tinggi.

“Saya yakin semua anak tempatan mampu berjaya di persada dunia jika kita ada keyakinan, minat, disiplin dan menjauhi perkara yang tidak berfaedah.

“Sejujurnya, saya bangga menjadi anak Malaysia, ini negara yang unik dengan pelbagai bangsa serta agama, tetapi kita tetap bersatu di bawah satu panji negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top