Menggarap sawah impian

Menggarap sawah impian

rencana@hmetro.com.my

BERBEKALKAN semangat yang menebal walaupun tanpa ilmu pertanian bukan penghalang buat Nur Syasya Ismail menceburkan diri dalam projek tanaman padi berskala besar yang kini memasuki musim keempat penanaman.

Berkat sokongan keluarga, tanah sawah di Kampung Pesagi, Maran, Pahang yang sebelum ini terbiar berjaya dibangunkan secara berperingkat dan kini petak sawah yang menghijau mencecah seluas 26 hektar.

Jumlah berkenaan ditambah secara berperingkat selepas selesai mendapat persetujuan pemilik tanah yang kebanyakannya berstatus tanah pusaka.

Nur Syasya, 26, yang memiliki Diploma Kejuruteraan Mekatronik dari Politeknik Pasir Gudang, Johor berkata, dia tidak pernah merancang menceburkan diri dalam projek tanaman padi yang memerlukan pengalaman serta modal besar.

Bagaimanapun, akuinya Tuhan menunjukkan jalan untuk dirinya bersama keluarga terbabit projek berkenaan selepas mendapat nasihat pelbagai pihak. Ternyata percubaan pertama pada 2022 mencetuskan kejayaan membanggakan.

Katanya, untuk berada pada kedudukan sekarang banyak rintangan dan dugaan terpaksa ditempuh, bermula untuk mendapatkan persetujuan menyewa tanah sawah hingga kepada modal dan tunjuk ajar daripada pihak berkemahiran dalam pertanian.

“Saya dianggap bertuah apabila mendapat sokongan dan bantuan daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di bawah Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) selain dibantu Jabatan Pertanian Pahang dan penduduk kampung,” katanya.

Nur Syasya berkata, Bernas yang bukan sahaja memberi khidmat nasihat, tetapi turut menyediakan bantuan kewangan, kemudahan jentera menuai seterusnya bertindak membeli padi.

“Awalnya menanam padi di atas tanah seluas lapan hektar dan kini saya mengusahakan seluas 26 hektar selain jumlah berkenaan ditambah secara berperingkat setiap tahun.

“Selain mengusahakan tanaman padi di atas tanah pusaka keluarga, selebihnya disewa dengan 44 pemilik lain terdiri penduduk kampung yang tidak lagi mengusahakan tanaman berkenaan,” katanya yang menyasarkan pengeluaran empat tan padi bagi setiap 0.4 hektar sawah.

Beliau berkata, kerjasama dan sokongan ibu, Nor Khariah Abd Razak, dua kakak iaitu Nur Syafikah dan Nur Syahirah serta adik, Afif Irafan termasuk suami, Muhammad Syaiful Hakimi Mohd Rusli menambahkan lagi semangatnya untuk terus berjaya dalam projek tanaman padi berskala besar itu.

Nur Syasya berkata, tanpa mereka tidak mungkin projek tanaman padi yang diusahakan berada pada kedudukan sekarang.

“Boleh dikatakan kami bergerak dalam satu kumpulan dalam semua aktiviti. Walaupun menggunakan dua pekerja, namun kami tetap saling membantu.

“Sebelum ini kebanyakan sawah di Kampung Pesagi menjadi tanah terbiar selepas generasi kedua dan ketiga penduduk kampung tidak lagi berminat mengusahakan tanaman padi, ada juga dalam kalangan mereka berhijrah ke bandar.

“Sebagai generasi ketiga terbuka hati untuk mengembalikan imej Kampung Pesagi yang suatu ketika dahulu menjadi antara pengeluar beras terbesar di Pahang. Kemudahan yang ada sebelum ini terutama sistem saliran terpaksa dibaiki,” katanya.

Katanya lagi, peringkat pertama projek berkenaan dia menggunakan pokok padi varieti padi MR297, namun sekarang mencuba varieti padi MR269 yang hasilnya lebih memuaskan dengan modal RM1,400 setiap 0.4 hektar sawah.

Akuinya, antara cabaran mengusahakan sawah di Kampung Pesagi ini ialah kejadian banjir yang berlaku hampir setiap tahun, faktor berkenaan menyebabkan mereka hanya mampu menanam sekali setahun sahaja. Tanaman padi mengambil masa 120 hari semusim.

“Saya percaya sekiranya sistem perparitan disediakan dengan sempurna, banjir dapat diatasi. Justeru, saya berharap Jabatan Parit dan Saliran (JPS) membantu menyelesaikan masalah dihadapi ini dengan membina tebatan banjir.

“Ancaman lain yang saya hadapi ialah serangan kera, itik belibis dan kerbau yang dibiarkan bebas, bagaimanapun itu sedikit pun tidak melemahkan semangat saya untuk terus berjaya dalam pertanian,” katanya.

Selain mengusahakan sawah dia juga menternak ikan sangkar di Sungai Pahang, sebanyak 12 sangkar ikan patin dan tilapia kini diusahakan.

Bagi Nor Khariah, 50, sebagai ibu dia banyak pada membantu memberi khidmat nasihat termasuk menguruskan proses mengesan pemilik tanah sawah yang terbiar untuk kami usahakan.

“Kebanyakan pemilik tanah sawah termasuk keluarga mereka saya kenal, sebagai anak jati Kampung Pesagi hubungan kami masih erat. Faktor berkenaan memudahkan saya mendapatkan persetujuan menyewa tanah sawah.

“Saya berbangga projek tanaman padi yang diusahakan secara keluarga berakhir dengan kejayaan memuaskan selepas bersusah payah sebelum ini. Hari ini kami berjaya meraih hasilnya dengan rezeki disediakan Yang Maha Esa,” katanya.

Kata Nor Khariah, impian yang ingin dicapai selepas ini ialah untuk memperluaskan lagi projek tanaman padi bagi meletakkan Kampung Pesagi di peta pengeluar padi berskala lebih besar di Pahang seterusnya dapat menampung permintaan beras negara.

Usaha dilakukan ini diharap dapat menjadi contoh pada pihak lain untuk berbudi pada tanah kerana masih luas tanah sawah di Pahang terbiar yang sedia dimajukan dengan sokongan agensi kerajaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top