Penyanyi Cliff Umar berkongsi perkembangan terkini di laman sosial Instagram.
Selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiiki dadah jenis heroin, Cliff berkata dia mahu memulakan kehidupan baharu.
Cliff berkongsi foto dirinya memakai baju pekerja perkhidmatan e-hailing popular Indonesia, Gojek seoalah membayangkan dia bekerja sebagai pemandu.
“Permulaan baharu, kehidupan yang baharu. Macam-macam tengah jadi dalam hidup saya.
“Setakat yang anda tahu saya sudah habis bicara, iyalah, semua sekali kena denda.
“Seperti kenyataan sebelum ini, memang salah saya. Tiada siapa yang paksa saya hisap dadah,” katanya menerusi sepotong video di Instagram (IG) miliknya, semalam.
Dalam pada itu, Cliff tidak putus semangat dan meneruskan kehidupannya meski kehilangan cinta hati, Anita.
“Tidak kira apa sahaja berlaku dalam hidup saya, daripada beraksi di pentas nyanyian atau akhirnya kini jadi pemandu Gojek. Saya bersyukur kepada Tuhan dengan takdir hidup yang saya lalui.
“Ia termasuk kehilangan cinta hati saya, Anita yang menjadi satu-satunya perkara membuatkan hati saya begitu hancur.
“Namun, meskipun apa sahaja perkara yang menjatuhkan, saya akan tetap bangkit dengan lebih kuat dan baik.
“Kini, saya lebih gembira berbanding sebelum dan kehidupan saya kini lebih bermakna,” tulisnya di IG.
Sebelum ini, Cliff didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam selepas mengaku bersalah memiliki dan memberi dadah kepada dirinya, Mei lalu.
Cliff turut berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebansgaan (AADK) selama dua tahun.