Mencintai gelanggang seni muzik lokal juga satu bentuk patriotisme – Adam Adli

Mencintai gelanggang seni muzik lokal juga satu bentuk patriotisme – Adam Adli

BUKIT JALIL : Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim menyokong dan menggalakkan penganjuran konsert bertemakan patriotik di negara ini.

Adam Adli berkata, menerusi penganjuran konsert seperti itu mampu menerapkan nilai patriotik dalam diri masyarakat terutama terhadap golongan belia.

Pada masa yang sama, beliau juga yakin gelanggang muzik lokal juga mempunyai nilai tersendiri yang boleh dibanggakan seiring dengan semangat patriotisme.

“Saya ada meneliti beberapa hantaran di media sosial yang ada menyebut bahawa rakyat Malaysia tak begitu patriotik. Itu salah.

“Menerusi konsert seperti Jiwa Malaysia 2024 ini, saya anggap ia satu medan ekspresi patriotik kerana tidak semestinya nilai kenegaraan itu sebagaimana yang biasa kita tengok atau baca ikrar dan sebagainya.

“Mencintai ‘scene’ lokal muzik juga satu bentuk patriotisme,”katanya.

Adam Adli berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Konsert Jiwa Malaysia 2024 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Selain itu, beliau turut yakin penganjuran konsert begini mampu memberi impak positif kepada golongan belia khasnya.

“Saya yakin yang ada disini disatukan dengan satu jiwa iaitu jiwa Malaysia. Itulah keunikan dna identiti kita sebagai rakyat Malaysia,”katanya.

Sementara itu, konsert yang berlangsung bermula pada jam 6 petang itu telah berjaya mengumpulkan seramai 15,000 penonton.

Konsert Jiwa Malaysia 2024 dimeriahkan dengan persembahan daripada Bella Astillah, Spider, Ruffedge, Hujan, Bunkface, Dolla dan Insomniacks.

Konsert itu merupakan anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kerjasama MND Sport & Event dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Semua artis berkumpulan diberikan masa selama 30 minit atas pentas, manakala Bella pula menghiburkan penonton dengan dua lagu. -UTUSAN