Pelakon Aniq Durar tidak menganggap teguran yang diberikan pelakon senior di set penggambaran sebagai tindakan buli.
Katanya, teguran yang diterima itu harus diambil secara positif demi kebaikan diri sendiri apatah lagi ia untuk memperbaiki mutu lakonan.
“Memang betul sebelum ini saya pernah menangis di lokasi shooting apabila ditegur pelakon senior. Tapi, teguran itu kerana silap saya sendiri dan tak anggap ia sebagai tindakan buli pun.
“Ketika itu memang silap saya sebab tak memahami watak. Tapi, selepas menerima teguran itu saya banyak belajar dan sentiasa cuba melakukan yang terbaik dan memperbaiki kekurangan dalam lakonan saya,” ulasnya.
Perkara itu dikongsi Aniq atau nama penuhnya, Awangku Aniq Durar Pengiran Malyx, 31, ketika ditemui pada majlis sesi ramah mesra ‘Day Out’ bersama pelakon drama Luruhnya Bunga Cinta 2 di Alice Saves Wonderland, Tun Razak Exchange (TRX) baru-baru ini.
Mengulas lanjut, sebagai pelakon baru dalam industri, Aniq tidak menyangkal bahawa situasi ‘buli’ boleh berlaku, namun pelakon terutamanya ‘new comers’ haruslah sentiasa bersifat profesional.
“Kadang-kadang perkara itu mungkin boleh berlaku, kita manusia kan… tapi at the end of the day kena bersifat profesional.
“Jadi saya berpendapat, masing-masing kena hormat menghormati apatah lagi industri sekarang sangat kompetitif. So, sama-sama kena work together.
“Kalau bercakap pasal attitude pelakon baru yang didakwa teruk, itu memang kena tegur,” katanya.
Selain Aniq, drama rantaian Luruhnya Bunga Cinta 2 itu turut dibintangi pelakon hebat seperti, Redza Rosli, Tracie Sinidol, Bella Hanna, Auni Yusri, Nabila Razali dan ramai lagi.