Melihat dengan jiwa

Melihat dengan jiwa

razis@mediaprima.com.my

Sebaik tiba di Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta (MAB), penulis terus menghantar pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp memaklumkan ketibaan di Dewan Ismail Mat Salleh untuk sesi temu bual.

Tidak sampai seminit, wanita yang dihubungi dilihat menuruni tangga dan terus menuju ke arah penulis dan jurugambar di lokasi dijanjikan.

Bagi individu yang pertama kali bertemu Norhayati Sarnoh, 43, pasti menyangka wanita itu adalah normal kerana dapat berjalan tanpa menggunakan bantuan tongkat di sekitar kompleks MAB.

Hakikatnya, anak jati Kampar, Perak itu sebenarnya adalah orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Malah, ibu dua cahaya mata itu bukan calang-calang individu apabila pernah mengharumkan nama negara selepas memenangi pingat emas di peringkat dunia bagi sukan boling padang, sekali gus diangkat sebagai Olahragawati Paralimpik Kebangsaan pada 2009. Selain itu, dia aktif dalam sukan judo dan catur.

Di MAB, Norhayati adalah salah seorang guru yang mengajar urutan terapi kepada pelajar OKU penglihatan sejak 18 tahun lalu.

Norhayati berkata, hampir 90 peratus, individu yang tidak mengenalinya beranggapan dia boleh melihat seperti insan normal lain.

“Sebenarnya saya berada di sini sejak 2002 dan sudah hafal semua laluan serta tempat di sini sehingga boleh berjalan tanpa bantuan tongkat.

“Malah, pada setiap pagi, saya sendiri menghantar anak ke sekolah sebelum masuk bekerja seawal jam 7 pagi.

“Untuk bergerak, saya banyak menggunakan segala deria yang ada termasuk bau, kaki, tangan, bahu dan telinga. Selepas hilang penglihatan, pendengaran saya menjadi sangat sensitif dan mampu mendengar bunyi di kawasan sekitar walaupun jauh dan perlahan,” katanya.

Bagaimanapun, untuk sampai ke tahap itu, perjalanan Norhayati seorang OKU penglihatan bukan mudah kerana penglihatannya ‘ditarik’ selepas disahkan menghidap sindrom Stevens-Johnson (SJS) iaitu penyakit alahan ubat ketika berusia 19 tahun.

Dia mengalami simptom SJS selepas mengambil ubat malaria untuk menyertai ekspedisi mendaki gunung.

“Selepas balik daripada ekspedisi itu saya demam dan keadaan menjadi lebih parah apabila diberi antibiotik. Penyakit ini menyerang bahagian organ yang bermukus di seluruh badan termasuk kulit dan mata sehingga saya terlantar di hospital selama beberapa bulan.

“Oleh kerana mata yang paling teruk diserang, saya terpaksa menjalani beberapa pembedahan. Sehingga kini pandangan saya seolah-olah dilitupi kabus tebal,” katanya.

Norhayati berkata, dia mengambil masa untuk reda dan menerima kekurangan yang dialaminya.

“Hampir seminggu saya menyendiri dalam bilik kerana banyak perkara yang saya tidak boleh lakukan sendiri. Daripada seorang yang aktif, situasi itu menyebabkan saya lebih suka menyendiri,” katanya.

Norhayati bersyukur keluarga terutama ibu sentiasa memberikan kata-kata semangat untuk meneruskan kehidupan dan belajar menerima kekurangan diri.

“Ketika menjalani pemulihan di MAB, kesedaran mula timbul, apabila bersama ramai dalam kalangan pelajar yang berdepan masalah lebih berat dan serius,” katanya.

Kemudian, dia mula menyedari keperluan untuk ikhlas dalam menerima segala ujian terhadap dirinya.

“Saya ubah pemikiran daripada terus merungut dengan mencari jalan penyelesaian terhadap apa sahaja masalah yang timbul.

“Alhamdulillah, pendekatan ini memberi kekuatan kepada diri, sekali gus dapat membantu saya mengharungi segala cabaran mendatang,” katanya.

Berkongsi pembabitannya sebagai tenaga pengajar MAB, Norhayati mengakui tidak menyangka akan terbabit dalam bidang pendidikan.

“Biarpun kebanyakan ahli keluarga pendidik, saya lebih cenderung dalam bidang perniagaan. Saya pernah sasarkan untuk berada di sini (MAB) selama beberapa tahun sahaja, namun tanpa disedari, saya sudah berada di sini selama 18 tahun.

“Selepas berada di sini, baru saya menyedari minat berkongsi ilmu supaya dapat memberi manfaat kepada individu yang senasib, sekali gus melahirkan lebih ramai OKU penglihatan yang produktif,” katanya.

Ditanya bagaimana sesi pembelajaran dijalankan, selain teori, Norhayati banyak menggunakan teknik sentuhan untuk membantu pelajarnya menguasai teknik urutan yang betul.

“Cabaran mengajar pelajar yang mengalami masalah penglihatan, mereka tidak dapat membayangkan jenis otot, tulang dan saraf yang betul. Oleh itu, pelajar dibantu untuk menyentuh otot, tulang dan saraf di badan rakan supaya dapat memberi kefahaman kepada mereka.

“Sebab itu, kebanyakan urutan OKU penglihatan lebih ‘terasa’ kerana sentuhan datangnya daripada hati mereka,” katanya.

Ditanya perancangan masa depan, dia ingin memanfaatkan ilmu dan pengalaman dimiliki untuk terbabit dalam bidang perniagaan

“Kini mempunyai sebuah pusat refleksologi di sebuah pasar raya di Petaling Jaya, Selangor di mana pekerja terdiri dalam kalangan OKU.

“Saya faham bukan mudah mereka mendapat tempat dalam pasaran kerja yang perlu bersaing dengan orang lain. Ini antara usaha kecil membantu OKU mempunyai pekerjaan untuk menyara diri dan keluarga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top