Melaka sudah terima 11.25 juta pengunjung

Melaka sudah terima 11.25 juta pengunjung

Melaka: Melaka menerima kira-kira 11.25 juta pengunjung dari Januari hingga September lalu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata jumlah tersebut meningkat 86.56 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas hasil penganjuran pelbagai acara ikonik.

“Ini adalah strategi serampang dua mata bagi mempromosi sektor pelancongan negeri seiring dengan usaha merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Kebudayaan dan Kesenian Antarabangsa (ICAF) @ Sungai Melaka di Dataran Pengkalan Rama Pantai di sini malam ini.

Mengulas mengenai ICAF, Ab Rauf berkata ia merupakan gabungan tiga festival utama iaitu Festival Sungai Melaka (FSM), Festival Seni Selat Melaka (FSSM) dan International Folklore Arts Festival (IFAF) selama tiga hari berakhir esok.

Beliau berkata ICAF kali ini amat istimewa kerana ia menggabungkan persembahan secara bersama dengan mempamerkan seni dan budaya Malaysia dari Melaka, Sabah, Sarawak dan Selangor.

Selain itu, Rauf berkata ia turut melibatkan enam negara di bawah International Council of Organisations of Folklore Festivals and Arts (CIOFF) seperti Filipina, Indonesia, Uzbekistan, Thailand dan Korea Selatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top