Melaka sambut baik hasrat PPHM jadi duta tarik pelaburan asing

Melaka sambut baik hasrat PPHM jadi duta tarik pelaburan asing

am@hmetro.com.my

Melaka: Kerajaan negeri menyambut baik hasrat Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia (PPHM) untuk menjadi duta bagi membuka peluang perniagaan dan menarik pelaburan asing dari China ke Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, PPHM bukan hanya dilihat berperanan mengeratkan kesepaduan sesama masyarakat Cina dalam aspek sosial, malah hubungan ekonomi dan perdagangan yang boleh dikembangkan ke negara luar.

Menurutnya, Melaka mempunyai sejarah panjang sebagai pusat perdagangan yang dinamik dan masyarakat Hokkien tidak terkecuali menyumbang dalam pelbagai bidang mencakupi ekonomi, pendidikan dan kebajikan.

“Saya amat berterima kasih kepada Tan Sri (Presiden PPHM, Tan Sri Lim Hock San) yang menyuarakan, sanggup untuk menjadi duta kepada pelaburan Melaka dalam membawa pelabur-pelabur dari China terutama dari Fujian,” katanya kepada media selepas Majlis Sesi Ramah Mesra Makan Tengah Hari Bersama Ketua Menteri Melaka dan PPHM di Ayer Keroh, hari ini.

Ab Rauf berkata, Melaka adalah sebuah negeri yang lengkap dengan kesepaduan terutamanya dalam kombinasi parti politik yang tidak ada di negeri lain.

“Jadi melihat kesepaduan ini, Melaka sudah berjaya meluncurkan banyak peluang ekonomi yang meyakinkan pelabur untuk datang melabur di negeri ini.

“Saya yakin dengan semangat kesepaduan yang ada pada Melaka ini akan lebih lagi mendapat keyakinan daripada pelabur-pelabur untuk datang melabur di Melaka,” katanya lagi.

Sementara itu, Lim berkata, majlis berlangsung platform untuk pihaknya berkongsi pandangan serta memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara masyarakat Hokkien dengan kerajaan negeri serta sektor berkepentingan.

“Dengan 252 cawangan di seluruh Malaysia dan lebih 3.5 juta warga Hokkien, persekutuan ini menjadi entiti yang kukuh dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat Hokkien, terutamanya dalam bidang ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan kebajikan.

“Satu daripada inisiatif utama tahun ini, kita akan menganjurkan Konvensyen Hokkien ASEAN pada 28 Ogos depan di Kuala Lumpur,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top