PETALING JAYA: Juara Liga Semi-Pro A, Melaka FC bersedia untuk melangkah ke saingan tertinggi Liga Malaysia (Liga M) iaitu Liga Super pada musim hadapan.
Bagaimanapun, hasrat berkenaan masih perlu dinilai dan diteliti kerana Melaka FC perlu membelanjakan dana yang besar untuk beraksi di Liga Super.
Justeru, pemilik Melaka FC, Datuk Nur Azmi Ahmad berharap mana-mana pihak tampil untuk bersama pasukan sebagai penaja bagi memastikan impian beraksi di Liga Super 2025/2026 menjadi kenyataan.
Katanya, impian berkenaan dilakukan bukan demi kepentingan peribadi tetapi mahu menggembirakan rakyat di negeri itu yang mahu melihat kembali pasukan kesayangan mereka beraksi di Liga Super.
“Setakat ini, kita ada berbincang tentang perkara tersebut (beraksi di Liga Super). Pertama untuk beraksi di Liga Super, kita memerlukan peruntukan yang besar. Contohnya dalam liga A1 kita belanja lebih kurang RM3.5 juta, kalau nak melangkah ke liga lebih atas, perbelanjaan akan naik lebih tinggi.
“Jika bermain di Liga Super kita akan belanja mengikut kemampuan agar tidak timbul isu-isu tunggakan gaji terutamanya seperti pasukan-pasukan sebelum ini. Saya di sini memohon jasa baik mana-mana pihak untuk bersama-sama Melaka FC.
“Memang berhasrat untuk bermain di Liga Super atau Liga Perdana kerana saya percaya ia memberi ruang kepada peminat-peminat negeri Melaka kembali ke stadium. Walaupun tidak akan sehebat JDT, Selangor dan Terengganu tetapi akhirnya kita dapat sediakan pasukan yang bukan ala kadar tetapi mampu beri saingan,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.
Nur Azmi menjadi watak penting kepada kejayaan Melaka FC menjadi juara Liga A1 dalam mengangkat kembali martabat bola sepak Melaka melalui kepimpinan dan visinya.
Kejayaan dikecapi Nur Azmi bersama Melaka FC juga pasti tidak akan tercapai, jika tidak kerana sokongan penuh daripada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Rustam.-UTUSAN