Melaka FC juara baharu Liga A1

Melaka FC juara baharu Liga A1

Melaka: Melaka FC dinobatkan juara baharu Liga A1 Semi-Pro biarpun terikat 0-0 ketika berdepan pesaing terdekat mereka Imigresen FC (IFC) di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Biarpun berbaki dua perlawanan dalam melengkapkan liga namun catatan juara terpahat kukuh dalam sejarah Liga A1 Malaysia musim 2024-2025 kali ini.

Malah, sebarang kekalahan atau kemenangan buat kedua-dua pasukan pada dua aksi berikutnya tidak akan menggugat kedudukan Melaka FC dinobatkan gelaran secara rasmi berdasarkan 65 mata yang diperolehi selepas mengharungi 26 perlawanan.

Sementara IFC kekal di tangga kedua dengan kutipan 57 mata selepas 26 perlawanan, bagaimanapun mereka masih belum selamat untuk bergelar naib juara kerana boleh digugat KL Rovers yang berada di tangga ketiga liga buat masa ini.

Apapun, kemenangan berkenaan disambut begitu meriah oleh peminat pasukan tuan rumah selepas sekian lama mereka tidak merasai nikmat menyaksikan wakil Melaka berentap di Liga Super.

Dengan keputusan terbabit Melaka FC secara automatik bakal bersaing di Liga Super musim depan sekali gus menjadi penawar dan menamatkan badi kegelapan bola sepak Hang Tuah selepas beberapa musim terpinggir daripada liga utama Malaysia selepas kali akhir menerusi penyertaan Melaka United.

Perlawanan yang berlangsung seakan perlahan dan berhati-hati dari kedua- dua pasukan bagi mengelak melakukan kesilapan mudah bagaimanapun menyaksikan Melaka memiliki peluang pada minit kelapan namun sepakan percuma Fuseini Issah sekadar menggegar tiang kanan pelawat sekali gus hampa membuka jaringan awal dalam perlawanan terbabit.

Namun IFC juga memiliki dua peluang menghasilkan jaringan tetapi rembatan Mohamad Nurzaiful minit kesembilan dan Thankgod Michael (m-38) gagal menemui sasaran ketika benteng pertahanan lawan sudah pun tertewas.

Bersambung di babak kedua, Melaka yang mahu menoktahkan keputusan perlawanan dengan mata maksimum terus menggandakan asakan namun percubaan penjaring terbanyak mereka Azim Rahim pada minit ke-63 dan Fikri Shah minit ke-68 berjaya diselamatkan penjaga gol pelawat Izarul Abdul Nasir.

Pelawat yang mahu mencipta kemenangan bagi menafikan Melaka merampas kejuaraan yang dimiliki musim lalu bagaimanapun hampa kerana gagal merobek gawang tuan rumah dalam usaha mengintai peluang pada baki dua perlawanan lagi jika mereka meraih tiga mata malam ini.

Akhirnya, IFC akur dengan keputusan tanpa jaringan terbabit, begitu juga Melaka yang ingin mencatat kejayaan lebih manis dengan kemenangan, namun turut akur tanpa membolosi gawang pelawat tetapi sudah cukup mengakhiri liga dengan kejuaraan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top