Megat Shahriman sedia bekerjasama dengan Shapawi

Megat Shahriman sedia bekerjasama dengan Shapawi

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin terbuka dan sedia bekerjasama dengan Datuk Ahmad Shapawi Ismail bagi merangka kejayaan lebih banyak untuk badan induk itu.

Malah, Megat melihat bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu mempunyai banyak pengalaman dalam bidang sukan ketika berkhidmat bersama MSN dan sudah pasti, perkara itu amat baik sekiranya mereka berdua dapat berada dalam satu pasukan.

“Saya tidak ada isu dengan Shapawi, dia memang seorang pemimpin yang bagus dan saya terima dengan baik perkara itu untuk dia membantu.

“Saya pun sudah berjanji untuk berjumpa dengan dia bagi melakukan beberapa perbincangan.

“Saya tengok dia sebagai penjawat awam dengan pangkat bekas Ketua Pengarah, saya mahu satu pandangan dan pengalaman dia dan saya terbuka dalam perkara ini,” katanya.

Selain itu, beliau akan berbincang dengan exco MPM untuk melihat peranan yang boleh diberikan kepada Shapawi atau mewujudkan jawatan khas untuk dirinya.

Terdahulu, Megat mempertahankan jawatannya selepas memenangi undian 14-10 dengan mengalahkan Shapawi dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), Sabtu lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top