KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin mempersoalkan niat sebenar Datuk Ahmad Shapawi Ismail untuk mencabarnya merebut jawatan No. 1 badan induk sukan paralimpik negara itu.
“Kenapa baru sekarang nak jadi hero sukan para? Bagi saya semua ini tindakan hipokrit, selama sembilan tahun sebagai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), beliau tidak serius memperjuangkan nasib persatuan dan atlet para negara.
“Selama beliau memiliki kuasa dulu, berlaku penindasan kepada sukan para dan ia adalah satu fakta. Jadi, bagi saya adalah lebih elok beliau berehat sahaja,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Selain itu, Megat Shahriman turut mengesahkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya itu pada Mesyuarat Agung Tahunan MPM yang akan berlangsung di Pusat Kecemerlangan Sukan Para, Kampung Pandan, Sabtu ini.
Pada 6 Disember lalu, Shapawi dalam satu kenyataan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden MPM selepas mendakwa terdapat ahli-ahli gabungan MPM sendiri yang mahukan perubahan dalam kepimpinan.
Justeru, Megat Shahriman memberitahu, beliau membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya itu sejak 2019 kerana berasakan perjuangannya masih belum selesai.
Jelasnya, terdapat beberapa agenda penting yang masih perlu dilaksanakan demi kemajuan MPM dan sukan para negara.
“Antara fokus utama ialah untuk memeterai dua kontrak kerjasama penting dengan syarikat besar yang akan menyediakan dana bagi menyokong program akar umbi prestasi tinggi serta program luar podium.
“Usaha ini bertujuan memperkasakan persatuan sukan para kebangsaan dan memacu pembangunan sukan para negara,” ujarnya.
Sepanjang empat tahun memimpin MPM, Megat telah membawa badan induk sukan para negara ke tahap lebih tinggi di peringkat Asia Tenggara, Asia, dan dunia.
Beliau juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Tadbir APSF (Asean Para Sports Federation), Wakil Sub-Region Asia Paralympic Committee dan Ahli Lembaga Eksekutif IFCPF (International Football CP Federation). – UTUSAN