Meerqeen pernah maki diri di cermin kerana 'anxiety'

Meerqeen pernah maki diri di cermin kerana 'anxiety'

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pelakon, Meerqeen berkongsi pengalaman pernah mengalami ‘anxiety’ (gangguan keresahan) dan kemurungan ketika mendalami watak dalam sebuah drama tidak lama dulu.

Meerqeen atau nama sebenarnya, Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam, 24, berkata, bagi menjiwai watak dalam drama berkenaan, dia memilih untuk tinggal bersendirian selama dua bulan.

“Saya memilih untuk duduk seorang diri selama dua bulan kerana mendalami watak itu. Saya juga tak buka lampu di rumah sebab saya nak rasa sendiri apa yang dialami watak terbabit.

“Saya seakan ‘memanggil’ watak itu masuk dalam diri kerana bila berseorangan atau bersama khalayak ramai, saya akan mengalami ‘anxiety’ itu.

“Tapi, saya tidak boleh nak sahkan sama ada saya betul-betul mengalami kemurungan sebab saya tidak berjumpa doktor (pakar psikiatri) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui pada majlis doa selamat dan memperkenalkan barisan pelakon drama adaptasi novel popular, Thariq Ridzuwan: His Treasure di sini, kelmarin.

Mengenai ‘anxiety’ lagi, kata Meerqeen, dirinya juga bertukar menjadi agresif gara-gara terbawa dengan karakter dalam drama terbabit.

Katanya, dia juga mengambil tempoh sebulan untuk ‘membuang’ karakter itu dari dalam dirinya.

“Habis sahaja penggambaran drama itu, saya terus tukar penampilan termasuk mewarnakan rambut serta botakkan kepala.

“Malah, saya juga pernah maki diri sendiri di cermin dan cakap, ‘kau ni tak eloklah.

“Saya tak maki adik beradik tapi apabila balik ke rumah, keluarga memang nampak saya berbeza dan terbawa-bawa dengan karakter itu,” katanya.

Selain Meerqeen, drama Thariq Ridzuwan: His Treasure dibintangi barisan pelakon seperti Qasrina Karim, Avertts Gomez, Noki K-Clique, Mia Sara Shauki dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top