Medan terakhir pilih atlet renang

Medan terakhir pilih atlet renang

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kejohanan Renang Terbuka Malaysia yang berlangsung dari 11 hingga 14 Mac akan menjadi medan terakhir pemilihan atlet renang ke temasya dwi tahunan di Kemboja Mei ini.

Menyasarkan tiga pingat emas, Setiausaha Agung Renang Malaysia (MS), Mae Chen berkata, Terbuka Malaysia adalah medan terakhir buat atlet membuktikan kemampuan dan beliau berharap kesemua atlet akan memberikan yang terbaik.

Begitupun Mae berkata, tiada masalah dalam pemilihan atlet terjun yang mana pada temasya kali ini skuad terjun akan menghantar barisan penerjun muda dan tiada lagi penerjun senior seperti Datuk Pandelela Rinong ataupun Nur Dhabitah Sabri.

“Bagi acara renang ini saya juga mengharapkan atlet negara boleh menyumbangkan tiga emas sama seperti dalam acara terjun.

“Dalam masa sama, saya turut mengharapkan jika ada rezeki kita boleh memperoleh empat emas,” katanya.

Bagi kedua-dua acara renang dan terjun, MS kini merangka persiapan untuk kesemua atlet yang mana terdapat dua pertandingan akan dianjurkan iaitu Kejohanan Renang dan Terjun Jemputan Peringkat Umur pada April ini sebagai persiapan terakhir buat atlet sebelum temasya bermula.

Mengulas mengenai keyakinannya dalam acara terjun selepas lebih sedekad skuad negara mendominasi acara berkenaan, Mae meluahkan keyakinan atlet negara mampu melakar kejutan.

Bagaimanapun cabaran dalam acara terjun mungkin akan hadir dalam kategori wanita yang mana beberapa negara seperti Singapura, Indonesia dan Filipina mempunyai penerjun terbaik mereka.

“Bagi acara lelaki saya agak yakin mereka mampu meraih emas tetapi untuk wanita cabaran itu agak sengit. Namun saya yakin semangat juang mereka dan atlet yang terpilih ini memang disematkan untuk mereka berusaha meraih emas,” katanya.

Untuk rekod pada temasya Hanoi skuad akuatik negara meraih sembilan emas, lapan dari acara terjun dan satu daripada acara renang yang disumbangkan Khiew Hoe Yean.

Negara jiran, Singapura mendominasi acara renang dengan membawa pulang 21 emas, 11 perak, 12 gangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top