Medan penyelesaian cabaran tenaga kerja di masa hadapan

Medan penyelesaian cabaran tenaga kerja di masa hadapan

suliati@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persidangan & Pameran Modal Insan Nasional (NHCCE) 2024 yang menjadi medan perbincangan penyelesaian isu berkaitan cabaran di tempat kerja bakal membuka tirainya pada 30 September dan berakhir pada 2 Oktober di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Dianjurkan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp), NHCCE 2024 ini dijangka menarik perhatian lebih ramai perwakilan seluruh rantau Asia Tenggara berikutan kejayaan penganjuran persidangan ini tahun lalu apabila seramai 4,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Malah, kejayaan itu juga menjadikan persidangan menghimpunkan pengamal bidang modal insan dan sumber manusia tempatan dan antarabangsa itu mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai persidangan pembangunan modal insan terbesar di Malaysia.

Penggunaan Kecergasan Buatan (AI) dalam bidang pekerjaan kini semakin meluas dan memberikan impak yang besar dalam pelbagai industri.

Kehadiran AI di tempat kerja juga membawa perubahan yang signifikan dalam cara bekerja dan berinteraksi dengan teknologi.

Menyedari hakikat itu, tahun ini, NHCCE 2024 akan membincangkan peranan Kecerdasan Buatan (AI) di tempat kerja dan maknanya untuk masa depan kerja dan tenaga kerja.

Selain itu, persidangan ini akan melihat cara menangani cabaran dan memanfaatkan peluang daripada pertumbuhan AI untuk tenaga kerja dan bakat di rantau ini.

Tema yang dipilih tahun ini adalah MenginsankanKecerdasan Buatan (AI) Untuk Tenaga Kerja Masa Depan bersesuaian dengan penggunaan AI yang semakin meluas merentasi skala global dan memberi impak besar dalam memajukan pembangunan modal insan.

Bukan itu saja, platform pembelajaran yang dikuasakan AI dan pembantu maya membantu memudahkan pembangunan kemahiran dan pemerolehan pengetahuan untuk pekerja.

Ini sekali gus membolehkan pekerja menyesuaikan diri dengan keperluan pekerjaan yang berkembang dan kekal berdaya saing dalam pasaran kerja global.

Berpandukan tema dipilih, persidangan ini juga menyasar untuk membahas perbincangan penting mengenai peranan AI di tempat kerja dan maksudnya untuk masa depan tenaga kerja.

NHCCE 2024 akan memfokuskan cara menangani cabaran dan memanfaatkan peluang pertumbuhan AI untuk tenaga kerja serta bakat di seluruh negara.

Melalui persidangan ini, perwakilan akan terbabit dalam perkongsian amalan terbaik untuk kemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) untuk terus mendahului revolusi AI merentas pelbagai sektor.

Bukan itu saja, menerusi persidangan ini juga, ia dapat memupuk kerjasama antarabangsa dalam membangunkan penyelesaian AI yang melengkapkan kekuatan manusia.

Dengan itu secara tidak langsung, ia akan menyokong pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan dipacu AI yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan di seluruh rantau ini.

Kali ini, NHCCE yang dulunya di kenali sebagai Persidangan & Pameran HRDF turut memperluaskan skopnya untuk merangkumi keseluruhan spektrum pembangunan modal insan dan perniagaan serta menetapkan peringkat untuk menentukan perbincangan seterusnya mengenai pembangunan modal insan.

NHCCE 2024 ini juga akan menyentuh lima perkara utama dalam memperkasa modal insan iaitu perniagaan dan ekonomi, teknologi, sumber manusia, tenaga kerja dan etika serta kepimpinan dan budaya.

Bagi memastikan persidangan ini mencapai objektif penganjurannya dan memberi impak terbaik menerusi tema yang dipilih, NHCCE 2024 menampilkan lebih 30 tokoh terkemuka bidang modal insan, pengamal sumber manusia yang berfikiran ke hadapan dan pakar dalam bidang masing-masing.

Antaranya ialah Mehdi Hasan, seorang wartawan dan pengulas politik British-Amerika yang telah memenangi pelbagai anugerah.

Beliau pernah bekerja dengan saluran berita dan penerbitan terkemuka seperti The Guardian, Al Jazeera, Peacock, dan MSNBC, di mana beliau menjadi hos rancangan The Mehdi Hasan Show. Selain itu, beliau juga pernah menemubual tokoh-tokoh terkenal seperti Noam Chomsky, Alexandria Ocasio-Cortez, Bernie Sanders, serta selebriti seperti John Legend dan Mark Ruffalo.

Mehdi juga penulis buku terlaris New York Times, Win Every Argument dan kini mengendalikan organisasi berita sendiri, Zeteo.

Selain itu, persidangan ini akan turut membawakan John Mattone iaitu salah seorang jurulatih eksekutif terkenal dunia dan pernah bekerja dengan legenda industri termasuk Steve Jobs dari Apple dan Roger Enrico dari Pepsi.

NHCCE 2024 ini juga akan menampilkan Dr Jack J Phillips pakar yang terkenal dalam akauntabiliti, pengukuran dan penilaian serta pengarang terkenal, penceramah dan pemimpin dalam transformasi manusia, Dr Justin Cohen.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu turut disertai oleh lebih 300 pempamer terkemuka yang menawarkan produk dan perkhidmatan terbaru meliputi model peningkatan kemahiran, teknologi terharu dan platform kesejahteraan.

Selain itu pelbagai aktiviti turut diadakan itu antaranya Silence Conference, aktiviti interaktif, networking cocktails, padanan perniagaan dan kelas induk.

Pembelian pas masuk bagi NHCCE 2024 kini dibuka untuk pembelian di mana pas standard berharga RM3,200 dan pas kumpulan boleh didapati pada harga RM2,900 setiap seorang dengan minimum lima peserta.

Bagi penjawat awam, harga yang dikenakan adalah pada RM2,500 menerusi pas kerajaan, manakala pas pelajarberharga RM500.

Untuk pakej antarabangsa pula, pas standard di jual pada harga USD 1,200 dan pas kumpulan USD 900 setiap orang dengan minumum tiga peserta.

Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut mengenai NHCCE 2024, layari laman sesawang www.hrdcorp.gov.my/nhcce atau emel nhcce@hrdcorp.gov.my atau menghubungi talian 03-7661 6255.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top