MCW pandang serius penahanan wartawan didakwa terima sogokan

MCW pandang serius penahanan wartawan didakwa terima sogokan

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius penahanan wartawan sebuah portal yang dakwa menerima sogokan untuk tidak menerbitkan artikel berkaitan agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dengan sindiket pekerja migran.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, MCW menegaskan bahawa integriti dan etika kewartawanan adalah asas kepada kebebasan media.

“Sekiranya dakwaan terhadapnya adalah benar, tindakan itu bukan saja mencemarkan nama baik profesion kewartawanan malah mengkhianati kepercayaan masyarakat terhadap media sebagai pemantau kepada ketelusan dan keadilan.

“Namun begitu, MCW juga menekankan bahawa proses undang-undang yang adil mesti dijalankan. Setiap individu berhak untuk dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, MCW menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh, memastikan semua bukti dikumpulkan dengan tepat dan tanpa prejudis.

“Dalam masa yang sama, MCW menyeru semua pengamal media untuk sentiasa mematuhi kod etika kewartawanan dan menghindari sebarang bentuk rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

“Kebebasan media datang dengan tanggungjawab besar, dan adalah penting bagi wartawan menjaga integriti mereka dalam menjalankan tugas.

“MCW akan terus memantau perkembangan kes ini dan berharap agar kebenaran dapat ditegakkan demi kepentingan awam dan integriti profesion kewartawanan di Malaysia,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan SPRM menahan wartawan sebuah portal tempatan bagi membantu siasatan kes rasuah, semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penahanan dibuat di hotel di Shah Alam kira-kira 11 malam.

“Penahanan dibuat berhubung dakwaan kes rasuah, bukannya mengenai laporan berita pendedahan isu pendatang asing tanpa izin (Pati),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top