najiy.jefri@hmetro.com.my
DRAMA siri yang mengangkat kisah wartawan meja jenayah di akhbar popular tanah air, Harian Metro berjudul Metro Crime Series (MCS) menduduki tangga ke-9 drama bersiri popular di platform penstriman Netflix ketika ini.
Bukan hanya popular di Netflix, malah sebahagian sedutan siri itu turut meraih tontonan tinggi di TikTok apabila mencatatkan 1.8 juta tontonan menerusi perkongsian seorang pengguna media sosial itu selain mendapat perhatian oleh pengguna di aplikasi X sejak ditayangkan di platform terbabit.
Teruja dengan sambutan luar biasa yang diterima, Penerbit Eksekutif Razor’s Edge Pictures Sdn Bhd dan pencipta MCS, Datuk Saniboey Mohd Ismail berharap Media Prima Berhad (MPB) selaku pengedar dapat meluaskan lagi tayangan drama siri itu secara global.
“Setakat ini MCS hanya boleh diakses oleh pengguna Netflix di Malaysia. Ramai rakan industri di Indonesia meluahkan rasa sedih apabila tidak dapat menontonnya di Indonesia.
“Saya berharap dengan maklum balas positif yang diterima di Netflix, TikTok dan X, pihak MPB dapat mempertimbangkan untuk tayangan secara global selepas ini,” katanya.
Menurut Saniboey, pihaknya juga sudah bersedia meneruskan musim baharu MCS yang lebih mendebarkan dengan fakta kes kejadian sebenar yang berlaku di Malaysia.
“Sejujurnya pasukan kami sudah membentangkan MCS untuk empat musim dengan jalan cerita berbeza. Ini termasuk kisah pembunuhan ahli politik, kematian pemilik kosmetik yang mengerikan dan kezaliman yang dilakukan terhadap dua remaja perempuan.
“Semua jalan cerita yang bakal dihasilkan sudah pun lengkap, hanya tinggal ‘lampu hijau’ daripada pihak MPB untuk meneruskan musim baharu.
“Walaupun setiap jalan cerita yang dibawakan melalui proses penambahbaikan, namun fakta kes dan asas kes yang berlaku adalah dari kisah benar,” katanya.
Drama arahan Megat Shahrizal dan Faizul Rashid itu menampilkan lakonan mantap Zahirah MacWilson, Aloy Paradoks, Chew Kin Wah, Wan Raja, Mustaqim Bahadon, Azri Iskandar, Azhar Sulaiman, Nia Atasha, Amanda Tan, Aqilah Abas, Megat Adli dan ramai lagi.
Sebelum ini, drama terbitan Razor’s Edge Pictures Sdn Bhd itu ditayangkan di platform penstriman online Tonton Original pada 6 Julai 2023.
Dalam masa sama, drama bersiri 10 episod itu turut ditayangkan di slot Lestary TV3.
MCS berkisarkan kes kematian Syerinie lakonan Eamie Elyna yang menggemparkan negara.
Tertarik dengan kes berkenaan, Fatema lakonan Zahirah, seorang wartawan Harian Metro berhasrat membuat liputan bagi jenayah yang menggegarkan negara ini.
Namun, permintaannya tidak diluluskan oleh editor. Sebaliknya, liputan itu ditugaskan kepada rakan sejawatnya, Rozimi.
Syerinie dibunuh dengan kejam dan pembunuhnya masih bebas, justeru MCS merungkai kes ini lalu membawa kepada lebih banyak persoalan.
Temu bual bersama saksi kejadian membawa kepada penemuan butiran yang dikaburkan oleh polis. Menurut saksi, dia ada terlihat seorang lelaki yang mungkin pembunuh Syerinie.
Hanya Fatema dan Rozimi yang melaporkan mengenai kelibat lelaki misteri ini yang memberi kelebihan kepada Harian Metro.
Pada keesokan harinya, suspek utama ditahan. Namun, jejaka itu bukan lelaki yang dilihat saksi kejadian.
Maka, soalan yang perlu diselesaikan menerusi 10 episod siri itu adalah: Siapa Lelaki Itu? Metro Crime Series: Siapa Lelaki Itu membawa jalan cerita yang penuh mendebarkan, selain memperlihat realiti wartawan akhbar masa kini.
© New Straits Times Press (M) Bhd