KUALA LUMPUR: Muslim Care Malaysia (MCM) dengan kerjasama Badan Amal Kebajikan Islam Petronas (BAKIP) meraikan 50 anak yatim piatu dan asnaf dari KAFA Integrasi As Salam dalam majlis berbuka puasa di ibu negara di sini, hari ini.
Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan berkata, aktiviti ini untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik dalam menyediakan persiapan menjelang lebaran yang bakal tiba.
Menurutnya, mereka yang diraikan ini menerima agihan duit raya sebanyak RM200 dan pakaian hari raya yang ditaja oleh pihak BAKIP berjumlah RM300.
“Aktiviti ini untuk memberikan kesedaran kepada pekerja karporat untuk membantu golongan asnaf.
“Sebahagian mereka mungkin tidak memiliki barangan yang mencukupi untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Dianggarkan sebanyak RM 25,000 dibelanjakan untuk meringankan beban mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan duit raya kepada 50 kanak-kanak golongan asnaf dan anak yatim di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi BAKIP dan Surau Al-Muhsinin, Mohd Khairul Anuar Ahmad Rafie. – UTUSAN