Maranello: Juara kategori pengeluar Formula Satu (F1), McLaren masih menjadi pasukan yang perlu ditewaskan apabila musim baharu bermula di Australia pada 16 Mac depan, kata pelumba Ferrari, Charles Leclerc.
McLaren menewaskan Ferrari, yang kini mempunyai juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton dalam pasukan mereka, untuk merangkul kejuaraan buat kali pertama dalam tempoh 26 tahun dengan kelebihan 14 mata pada musim lalu.
Data F1 menunjukkan pasukan berpangkalan di Woking itu lebih pantas berbanding Ferrari dengan bahan api rendah dengan kelebihan lebih kecil dalam kelajuan perlumbaan semasa ujian pramusim tiga hari di Bahrain, minggu lalu.
“Hari ini saya rasa McLaren masih menjadi pasukan yang perlu ditewaskan,” kata Leclerc dalam satu acara bagi meraikan 20 tahun kerjasama antara Ferrari dan jenama sukan Puma di pangkalan bersejarah pasukan itu di Maranello, Itali.
“Namun, sangat sukar untuk mendapatkan gambaran tepat daripada ujian itu kerana kami tidak tahu tahap bahan api yang mereka gunakan dan sebagainya.
“Ujian kami berjalan dengan baik, kami menyelesaikan program kami yang menjadi perkara paling penting dan kami tidak menghadapi sebarang kejutan buruk. Ia sesuatu yang baik,” tambah pemandu dari Monaco itu.
“Tetapi dari segi prestasi, semuanya masih perlu dilihat minggu depan apabila kami sampai ke Australia untuk sesi kelayakan.”
Leclerc turut memuji rakan sepasukannya yang baharu, Hamilton yang bakal memburu kejuaraan kelapan pada usia 40 tahun.
“Sudah tentu, dengan kehadiran Lewis, terdapat banyak perhatian terhadap pasukan sepanjang rehat musim sejuk ini, tetapi itu perkara hebat.
“Ia normal kerana dia adalah legenda dalam sukan ini dan kini menyertai pasukan paling ikonik dalam F1,” katanya.
“Saya telah memberi tumpuan kepada diri saya sebanyak mungkin sepanjang rehat musim sejuk ini untuk bersedia sepenuhnya bagi musim ini dan saya rasa sudah bersedia. Semua orang kelihatan sangat bermotivasi, jadi saya tidak sabar untuk memulakannya.”
© New Straits Times Press (M) Bhd