San Diego: Rory McIlroy, yang sebelum ini lantang mengkritik LIV Golf, kini menggesa Jelajah PGA dan liga tajaan Arab Saudi itu untuk kembali bersatu demi masa depan sukan golf profesional.
Bercakap menjelang kejohanan Genesis Invitational, pemain ranking ketiga dunia itu mengakui semua pihak, sama ada kekal di Jelajah PGA atau menyertai LIV mendapat manfaat daripada persaingan antara kedua-dua badan berkenaan.
“Kita semua sudah mendapat sesuatu daripada situasi ini. Minggu ini, kami bermain untuk hadiah wang AS$20 juta (RM89 juta), sesuatu yang takkan berlaku tanpa kehadiran LIV Golf,” kata McIlroy.
Bagaimanapun, bintang Ireland Utara itu menegaskan model sedia ada adalah ‘tidak mampan’ dan usaha menyatukan kembali dua organisasi itu perlu dilakukan sebelum musim 2026.
“Sudah tiba masanya kita lupakan apa yang berlaku, berhenti berdendam dan fikirkan masa depan golf. Semua perlu bergerak ke hadapan bersama demi kepentingan sukan ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Pesuruhjaya Jelajah PGA, Jay Monahan, turut memberi gambaran positif mengenai penyatuan semula selepas pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan pemain golf Adam Scott minggu lalu.
“Terus terang, ini yang peminat mahukan, semua pemain terbaik dunia bertanding di pentas yang sama,” kata Monahan.
McIlroy juga mengesahkan dia berbincang dengan Trump mengenai situasi berkenaan ketika bermain golf bersama Januari lalu, dan percaya Presiden AS itu boleh memainkan peranan dalam usaha penyatuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd