McCartney raih gelaran pertama Jelajah WTA

McCartney raih gelaran pertama Jelajah WTA

New York: Pemain Amerika Syarikat (AS), McCartney Kessler mengejutkan pilihan utama, Beatriz Haddad Maia dari Brazil, selepas mengatasi set pertama yang sengit untuk meraih kemenangan 1-6, 6-1, 7-5 dalam final Tennis in the Land di Cleveland.

Ini adalah gelaran Jelajah WTA pertama dalam karier McCartney.

McCartney yang dilabel sebagai pemain bukan pilihan, menyingkirkan pilihan keempat Wang Xinyu dari China dan pilihan kelima, Anastasia Potapova dari Rusia sebelum melengkapkan kejutan terhadap Beatriz.

McCartney tidak dapat rentak permainan sehinggalah di set kedua, di mana dia memenangi enam permainan berturut-turut selepas ketinggalan 0-1.

Pemain berusia 25 tahun itu kemudian ketinggalan 1-3 dalam set ketiga sebelum bangkit untuk meraih kemenangan ke atas Beatriz, yang menghuni ranking ke-23 dunia.

“Ia minggu yang menakjubkan. Saya teruja dapat memenangi gelaran WTA pertama namun perlu melihat kembali perkembangan yang saya pamerkan minggu ini dan harap terus maju ke depan.

“Saya cuba untuk kekal tenang dan fokus saat ini. Walaupun ada masa saya ketinggalan 4-5 saya rasakan sudah mula untuk bermain tenis dengan baik.

“Saya suka dapat bermain tenis dengan baik namun minggu depan adalah episod baharu, jadi saya cuba untuk mempersiapkan diri sebagai mungkin,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top