PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad menjalinkan perkongsian baharu dengan Curlec by Razorpay, gerbang pembayaran teknologi kewangan (fintech) untuk merevolusikan penyelesaian pembayaran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Kerjasama ini memperkenalkan saluran yang lebih bijak, pantas dan dipercayai untuk perniagaan di seluruh Malaysia, membolehkan mereka berkembang maju dengan mudah dalam ekonomi digital yang kompetitif.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, perkongsian ini merupakan satu perubahan untuk PKS mereka.
“Dengan menawarkan penyelesaian pembayaran digital yang lancar melalui Curlec, kami memudahkan transaksi dan memperkasakan perniagaan untuk membina ekosistem kewangan digital hujung ke hujung.
“Sama ada mengurus pembayaran, mengautomasikan invois atau memperkemas pelan langganan, PKS boleh memberi tumpuan kepada pertumbuhan tanpa perlu risau tentang ketidakcekapan operasi,” katanya dalam kenyataan.
Curlec Payment Gateway direka bentuk dengan mengambil kira perniagaan, menawarkan penyepaduan yang lancar, reka bentuk pembayaran berteraskan jenama dan sokongan untuk berbilang kaedah pembayaran, termasuk kad kredit, FPX dan e-wallet.
Perniagaan juga boleh memanfaatkan saluran seperti pautan pembayaran, halaman pembayaran, e-Invois, pengurusan langganan dan keupayaan pembayaran.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Curlec, Zac Liew berkata, kerjasama dengan MBSB adalah sejajar dengan agenda nasional untuk mempercepatkan penggunaan digital dalam kalangan perniagaan.
“Dengan penyelesaian ini, PKS boleh meningkatkan kecekapan operasi dan berkembang maju
ekonomi digital,” katanya.
Tambah kenyataan itu, penyelesaian ini amat bermanfaat untuk PKS dalam sektor e-dagang yang berkembang pesat, di mana fleksibiliti, kelajuan dan penyepaduan adalah penting.
Selain pembayaran, MBSB Bank menawarkan pelbagai inisiatif yang disesuaikan untuk memperkasakan PKS daripada sokongan pensijilan halal dan pilihan pembiayaan hijau kepada program khusus untuk usahawan wanita. – UTUSAN