KLANG: Penyewa atau pemegang lesen dikeluarkan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang menyewakan ruang niaga atau lesen perniagaan kepada warga asing akan disenarai hitam serta dilarang daripada berniaga di tempat lain.
Datuk Bandarnya, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, penguatkuasaan itu adalah seperti mana tertakluk kepada dasar MBDK atau mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri.
Menurutnya, ia turut dikenakan kepada pemilik lesen atau penyewa ruang niaga premis MBDK yang menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran atau permit sah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Kalau kita dapati premis tersebut disewakan atau dialibabakan kepada orang asing tanpa kelulusan, kita boleh mengambil tindakan untuk membatalkan lesen dan menamatkan penyewaan kepada peniaga berkenaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau menyertai serbuan dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh JIM bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dekat Pasar Besar Klang, Meru.
Operasi yang bermula pukul 5.30 pagi itu menyaksikan seramai 630 warga asing terdiri daripada 530 dari Myanmar (Rohingya), 85 (Bangladesh), sembilan (Indonesia) termasuk dua wanita serta seorang dari Nepal.
Tambah Abd. Hamid, beliau yakin terdapat penyewa yang mengalibabakan kemudahan daripada MBDK kepada mereka dengan mengambil keuntungan atas angin bermula RM500 bagi premis yang disewa pada harga RM100 daripada majlis.
“Berdasarkan pemeriksaan hari ini, sekiranya pihak JIM memutuskan mereka adalah warga asing dan kita akan membuat semakan premis berkenaan untuk kita mengambil tindakan bagi urusan pembatalan penyewaan dan juga lesen yang ada.
“Dari segi kompleks pasar, ada 721 petak atau ruang niaga yang boleh disewakan dan pada masa ini ada 600 unit yang kita sewakan dan memberi lesen, jadi untuk kita kenal pasti berapa yang dialibabakan, keputusan pada operasi pada pagi ini,” ujarnya.
Jelasnya lagi, beliau akan mendapatkan maklumat daripada JIM berdasarkan operasi tersebut sebelum mengambil tindakan susulan menamatkan kontrak sewaan serta membatalkan lesen perniagaan.
“JIM akan maklum premis yang mana satu dan kita akan kenal pasti, tadi pun saya mengarahkan pegawai untuk memeriksa premis-premis yang ditinggalkan kosong, adakah ia (penyewa) sudah meninggalkan premis, kita kena buat semakan.
“Kalau tengok pada jumlah pemeriksaan pada hari ini, mungkin lebih 50 peratus daripada jumlah premis. Kita akan buat tindakan susulan, kalau kata sah mereka benar mengalibabakan lesen atau premis, kita akan mengambil tindakan lanjut seperti mana dalam perjanjian yang kita ada,” katanya. – UTUSAN