Mbappe mungkin terlepas final Piala Antara Benua

Mbappe mungkin terlepas final Piala Antara Benua

Madrid: Penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe, disahkan mengalami kecederaan paha kiri, menurut kenyataan kelab LaLiga, menjadikannya diragui untuk aksi final Piala Antara Benua Fifa minggu depan.

Mbappe terpaksa digantikan pada separuh masa pertama dalam kemenangan 3-2 Real Madrid ke atas Atalanta dalam saingan Liga Juara-Juara Rabu lalu, meskipun sempat meletakkan pasukannya di hadapan dengan jaringan pada minit ke-10.

Pengurus Real, Carlo Ancelotti, selepas perlawanan berkata Mbappe mengalami bebanan berlebihan dan ketidakselesaan pada bahagian pelvis bawah (ischial), namun menjelaskan kecederaan itu mungkin tidak serius tetapi memerlukan pemeriksaan lanjut.

Mbappe, yang juga menjaringkan gol dalam kemenangan 3-0 menentang Girona hujung minggu lalu, dijangka terlepas perlawanan liga menentang Rayo Vallecano hujung minggu ini dan perlu berlumba dengan masa untuk pulih sebelum final Piala Antara Benua yang berlangsung di Qatar.

Dalam perlawanan akhir itu, Real Madrid akan berdepan pemenang perlawanan separuh akhir antara Pachuca dari Mexico dan Al Ahly dari Mesir yang dijadualkan Ahad ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top