Mbappe dijangka pulih berdepan Barca

Mbappe dijangka pulih berdepan Barca

Madrid: Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti, mengesahkan bahawa penyerang sensasi Kylian Mbappe dijangka pulih daripada kecederaan menjelang pertembungan getir menentang seteru tradisi, Barcelona, dalam perlawanan akhir Copa del Rey pagi Ahad ini.

Mbappe tidak diturunkan ketika Madrid menang ke atas Athletic Bilbao dalam saingan La Liga Ahad lalu dan juga tidak akan diturunkan untuk perlawanan menentang Getafe Khamis ini.

Bintang Perancis itu mengalami kecederaan buku lali ketika aksi Liga Juara-Juara (UCL) menentang Arsenal minggu lalu, yang menyaksikan Madrid tersingkir daripada kejohanan itu.

Namun begitu, dia dan rakan senegara, Ferland Mendy, dijangka cergas untuk menghadapi perlawanan El Clasico.

“Untuk perlawanan esok, mereka masih belum bersedia. Namun mereka akan menjalani latihan dalam beberapa hari ini, dan saya fikir mereka akan bersedia untuk perlawanan Ahad nanti,” kata Ancelotti

Mbappe menjadi sasaran cemuhan sebahagian penyokong Madrid apabila wajahnya dipaparkan di skrin di Stadium Santiago Bernabeu ketika kemenangan 1-0 ke atas Athletic keputusan yang mengekalkan jarak empat mata di belakang pendahulu liga, Barcelona.

“Mbappe kecewa kerana kecederaan ini menghalangnya membantu pasukan. Namun, dia sedang berusaha sedaya upaya untuk bersedia menjelang perlawanan Ahad nanti,” tambah Ancelotti.

Tanpa Mbappe, penjaring terbanyak Madrid musim ini dengan 33 gol dan dengan menggunakan seorang pemain tengah tambahan, Madrid tampak lebih kukuh dari segi pertahanan ketika menentang Athletic.

“Saya rasa masalah yang kami hadapi musim ini agak jelas.

“Kami mengubah sedikit corak permainan kerana kami mempunyai cari pemain yang berbeza.

“Kami berdepan kesukaran untuk mencari keseimbangan, dan saya berharap kami dapat menemuinya dalam baki perlawanan musim ini, kerana banyak yang masih dipertaruhkan… jika kami gagal mencapainya, sukar untuk kami menang.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top