Mbappe bakal beraksi menentang Pachuca

Mbappe bakal beraksi menentang Pachuca

Madrid: Penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe, kembali selepas pulih daripada kecederaan paha dan akan menyertai skuad untuk perlawanan akhir Piala Antara Benua minggu ini di Doha, menurut kenyataan kelab itu.

Mbappe mengalami masalah pada paha kiri ketika menjaringkan gol dalam kemenangan 3-2 ke atas Atalanta dalam Liga Juara-Juara minggu lalu, menyebabkan dia terlepas aksi liga yang berakhir seri 3-3 dengan Rayo Vallecano.

Namun, pemain berusia 25 tahun itu kini disahkan akan berada dalam skuad untuk final menentang kelab Mexico, Pachuca, yang akan berlangsung di Stadium Lusail Rabu ini.

“Mbappe menjalani latihan bersama pasukan dan juga secara individu,” kata Real Madrid mengenai sesi latihan terakhir sebelum perjalanan ke Doha.

Real Madrid kini di tempat ketiga La Liga, hanya satu mata di belakang pendahulu Barcelona dan Atletico Madrid, dengan satu perlawanan dalam tangan.

Mereka dijadualkan menentang Sevilla di Santiago Bernabeu pada Ahad ini.

Piala Antara Benua mempertemukan pemenang kejohanan benua, dan Real Madrid layak terus ke final sebagai juara Liga Juara-Juara 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top