mdroji@bh.com.my
Kuching : Polis mengesahkan identiti mayat reput yang ditemukan di dalam longkang di Tabuan Jaya, Ahad lalu adalah Nurul Asikin Lan, 26.Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, pengesahan itu dibuat selepas pihaknya menerima keputusan ‘asid deoksiribonukleik’ (DNA) petang ini.
“Identiti mayat yang dijumpai di Jalan Setia Raja telah dikenalpasti dan disahkan adalah mangsa Nurul Asikin,” katanya ringkas menerusi Whatsapp, hari ini.
Allahyarham Nurul Asikin dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu selepas keluar bersama seorang lelaki yang baru dikenalinya.
Pada Ahad lalu, mayat wanita yang sudah reput ditemui di dalam longkang berdekatan tempat pembuangan sampah di Jalan Setia Raja, Tabuan Jaya.
Mancha dilapor berkata, lelaki berusia 20-an iaitu suspek utama yang ditahan pada Sabtu membawa polis ke lokasi itu dan menunjukkan tempat mayat mangsa dibuang.
Menurut Mancha, suspek turut membuat pengakuan dia membunuh wanita itu.
Sementara itu, tinjauan di media sosial mendapati seorang wanita dipercayai ahli keluarga mangsa memaklumkan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Samariang, esok.
Beliau turut meminta orang ramai agar tidak menghubungi keluarga mangsa ketika ini kerana tidak mahu mengganggu emosi mereka.
“Sapa maok datang nangga, boleh direct (terus) ke kubur Samariang esok hari. Minta tolong jangan call family kazen kamek masa tuk, hanya perlu datang ke kubur Samariang terus (Sesiapa mahu datang melihat, bokeh terus ke Tanah Perkuburan Samariang esok hari. Minta tolong jangan hubungi keluarga sepupu saya buat masa ini),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd