Mayat pendaki ditemukan selepas sembilan bulan – Utusan Digital

Mayat pendaki ditemukan selepas sembilan bulan – Utusan Digital

SOKHUMI: Mayat seorang pendaki ditemukan sembilan bulan selepas dilaporkan terjatuh hingga maut di gua paling dalam di dunia yang terletak di Georgia.

Lapor Daily Star, pasukan penyelamat terdiri daripada 100 pendaki terlibat dalam kerja-kerja membawa keluar mayat mangsa dari Gua Veryovkina di Abkhazia, Georgia.

Operasi membawa keluar mayat mangsa akan dilakukan selepas mendapat persetujuan dari Pejabat Pendakwa Raya Rusia.

Mangsa yang merupakan warga Rusia dan dikenali sebagai Sergei Kozeev dilaporkan hilang pada November tahun lalu.

Mayat Kozeev dijumpai pada 3 Ogos lalu selepas sekumpulan pendaki menemukan tali di jalan masuk ke gua.

Kumpulan pendaki itu juga menemukan beberapa barang milik Kozeev sebelum menjumpai mayat mangsa.

“Ia ditemukan tergantung dari tali sepanjang 1,000 meter ke dalam gua,” jelas laporan itu.

Seorang ahli dari Union of Cavers, Evgeny Snetkov percaya Kozeev merupakan pelancong yang mungkin tidak bersedia mengharungi cabaran gua.

Katanya, aktiviti mendaki di gua berbahaya seperti itu melanggar peraturan keselamatan.

“Mangsa merupakan seorang pelancong yang terlibat dalam pelbagai sukan.

“Jadi, dia memutuskan untuk menjelajah gua namun malangnya dia memilih lokasi yang bahaya,” katanya.

Jelas Snetkov, operasi membawa keluar mayat mangsa secara teknikal dilihat agak sukar namun pakar percaya dapat dilakukan.

Setakat ini, punca kematian Kozeev tidak dapat dipastikan sama ada dia maut sejurus selepas terjatuh atau akibat hiportemia. – AGENSI

 

Scroll to Top