am@hmetro.com.my
Hulu Selangor: Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di kawasan lombong di belakang Klinik Kesihatan Serendah di sini, semalam.
Dalam kejadian 9 pagi itu, mangsa yang tidak dapat dikenal pasti identiti dijumpai orang awam dengan hanya memakai seluar dalam dan terlentang di permukaan air.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan lelaki itu mendapati tiada kesan kecederaan luaran, pergelutan atau lain-lain.
“Berdasarkan keadaan badan mangsa, mangsa dipercayai lemas di lombong itu, dalam anggaran empat hingga lima hari.
“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya menerusi kenyataan.
Ahmad Faizal berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Hazwan Ismail di talian 03-60811222 / 013-2908206 atau mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd