Mayat dalam but kereta: Pemandu lori didakwa membunuh

Mayat dalam but kereta: Pemandu lori didakwa membunuh

am@hmetro.com.my

Mersing: Pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret Mersing, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui dalam but kereta pada, bulan lalu.

Tertuduh, Hasbullah Adam, 36 faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Nurkhalida Farhana Abu Bakar.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, Hasbullah didakwa telah membunuh Shakirin Mohammad, 28 antara 26 Disember jam lebih kurang 6.10 pagi hingga 28 Disember lalu pada jam 1.50 tengah hari di tepi jalan, Jalan Jemaluang-Kahang, Mersing.

Pertuduhan dibuat mengikut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Foo Fang Leong, manakala tertuduh diwakili peguam, Azlan Bohari.

Fang Leong dalam pengujahannya memaklumkan tiada jaminan dibenarkan kerana pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan.

Mahkamah menetapkan 27 Februari sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan laporan kimia, forensik dan laporan bedah siasat.

Sebelum ini, media melaporkan mayat lelaki tempatan berusia 28 tahun itu dijumpai dalam keadaan berpakaian lengkap dalam but kereta miliknya dengan kesan kecederaan di bahagian leher pada 28 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Mersing Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani dilaporkan berkata, dendam dipercayai menjadi motif utama pembunuhan lelaki itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top