am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang selepas tergelincir ketika bermain di tepi longkang dekat Jalan Padi Mahsuri, Bandar Baru Uda di sini, semalam ditemui meninggal dunia.
Mayat kanak-kanak berusia 10 tahun itu ditemui anggota bomba kira-kira jam 5.10 petang tadi, pada jarak 3.7 kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) (KUP) Nordatul Badrol Abd Rahman berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui pada hari kedua operasi yang dilakukan sekitar Sungai Danga di sini.
“PKO (Pasukan Keluaran Operasi) bertindak membuat pencarian dengan menggunakan satu bot di sekitar Sungai Danga di sini.
“Mangsa dilaporkan dijumpai di tebing Sungai Danga iaitu kira-kira 3.7 km daripada mangsa dilaporkan terjatuh,” katanya.
Semalam, media melaporkan bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden seorang kanak-kanak yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam longkang ketika cuaca hujan, pada jam 3.37 petang.
Dilaporkan, kedalaman longkang kira-kira 3.9 meter dan lebar kira-kira 6.7 meter, manakala paras air ketika mangsa hilang adalah pada kedalaman 2.43 meter.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa pada hari ini turut mendapat bantuan dari Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Skudai.
Turut sama dalam operasi adalah Pilis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
© New Straits Times Press (M) Bhd