PETALING JAYA: Matador Club terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan mengatasi Armed Forces HT 5-2 di Stadium Kementerian Pendidikan (KPM), petang tadi.
Kemenangan ini mengekalkan harapan Matador untuk mara ke peringkat kalah mati Liga Hoki Malaysia (MHL).
Dengan dua kemenangan dan empat kekalahan setakat ini, Matador kini mengumpul enam mata dan menduduki tangga keenam dalam liga.
Matador ini masih mempunyai baki tiga perlawanan lagi untuk menentukan nasib mereka.
Matador, yang dibarisi tujuh pemain dari Pakistan dan seorang dari India, mempamerkan aksi cemerlang dengan jaringan daripada Abdul Hannan Shahid (minit ke-11 dan ke-24), Abdul Waheed Ashraf Rana (minit ke-10), Irfan Raziq Syakir Ridzuan (minit ke-38), dan kapten pasukan, Ahmed Shakeel Butt (minit ke-42).
Armed Forces hanya mampu membalas dua gol melalui Nasrul Ikmal Hakimie Abd Rahim (minit ke-36) dan Nazrey Din (minit ke-48).
Sementara itu, di Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang, juara bertahan treble, Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus mempamerkan dominasi mereka dengan menewaskan Nurinsafi Sporting 6-0.
Ini merupakan kemenangan kelima TNB dalam liga musim ini.
Jaringan TNB disumbangkan oleh Azrai Aizad Abu Kamal (minit ke-32 dan ke-55), Norsyafiq Sumantri (minit ke-28), Firhan Ashaari (minit ke-36), Jang Jong Hyun (minit ke-42), dan Wan Haziq Hishamuddin Wan Ameer Ruzman (minit ke-60). – UTUSAN