Masyarakat pelbagai kaum raikan iftar bersama di 'Juh Berambeh Sungkei'

Masyarakat pelbagai kaum raikan iftar bersama di 'Juh Berambeh Sungkei'

am@hmetro.com.my

Kuching: Warga bandar raya ini mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk menyertai program berbuka puasa ‘Juh Berambeh Sungkei’ di Padang Merdeka, di sini, hari ini.

Acara itu, yang turut disertai masyarakat bukan Islam, menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Masyarakat bukan Islam yang turut serta berbuka puasa teruja dengan acara yang diadakan secara ala piknik di tempat terbuka itu.

Melvin Mclair, 22, berkata ini kali kedua beliau menyertai acara itu selepas tahun 2023.

Mahasiswa Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kampus Parit Raja, Batu Pahat itu, bersama tujuh rakannya mengambil tempat di tengah Padang Merdeka sejak jam 5 pagi kerana mahu mendapatkan lokasi yang menarik.

“Saya mengambil kesempatan ketika cuti ini untuk sekali lagi bersama masyarakat Islam berbuka puasa di padang ini.

“Acara ini cukup menarik kerana mengumpulkan masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam satu kelompok untuk makan bersama-sama,” katanya.

Rakannya, Claudia Ivorre, 20, pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), pula berkata ini kali pertama beliau menyertai acara berkenaan.

“Saya sebenarnya tak tahu pun, tetapi tertarik untuk pergi selepas kawan mengajak.

“Melihat orang ramai datang bersama keluarga dengan ada yang berkhemah membuatkan saya seronok,” katanya.

Empat lagi rakan mereka, Naomi Ruran, Merilyn Naneque, Natalie Haschinta dan Gloria Michelle, turut serta bersama dua rakan yang beragama Islam iaitu Nuri Rabiatul Kasturi Yuslan dan Nur Eyman Latifah menghadiri acara itu.

Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata edisi ketiga ‘Juh Berambeh Sungkei’, dengan tema Kelestarian dalam Belia dan Perpaduan dalam Iftar, dihadiri lebih 3,000 pengunjung.

“Kali ini pengisiannya sedikit berlainan kerana kita jemput Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) supaya kita dapat merapatkan silaturahim antara masyarakat majmuk di negeri ini,” katanya ketika berucap sebelum waktu berbuka puasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top