Wei Chong (kanan) dan Kai Wun menumpaskan pasangan Taiwan untuk mara ke suku akhir Masters Indonesia pada Jumaat.
BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah meneruskan momentum positif apabila melangkah ke saingan suku akhir Masters Indonesia di Jakarta sebentar tadi.
Kejayaan tersebut diraih selepas pasangan negara yang menghuni ranking ketujuh dunia mudah menumpaskan Hu Ling Fang-Jheng Yu Chieh secara straight set dalam aksi pusingan kedua.
Biarpun ditentang sengit pasangan dari Taiwan itu, namun Pearly-Thinaah tenang mengesahkan kemenangan 21-19 21-16 dalam masa 34 minit permainan di Istora Senayan.
Menanti mereka dalam saingan suku akhir pada Jumaat ialah pemenang antara Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun dari Taiwan atau pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto.
Skrip kejayaan turut disusuli oleh beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang mengalahkan pasangan adik beradik dari Taiwan Fang Chih Lee-Fang Jen Lee.
Gandingan negara menang menerusi aksi straight set 23-21, 21-13 dalam tempoh 38 minit permainan.
Wei Chong-Kai Wun bakal berdepan pemenang antara rakan senegara, Arif Junaidi-Yap Roy King atau pasangan tuan rumah, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.
Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi pemain perseorangan wanita, K Letshanaa apabila tumpas kepada pemain Vietnam, Nguyen Thuy Linh 21-18, 17-21, 22-20 setelah lebih sejam beraksi.
Letshanaa kalah kepada pemain Vietnam dalam aksi pusingan kedua Masters Indonesia di Jakarta pada Khamis.