Masjid, surau diseru solat hajat adakan solat hajat doakan keselamatan negara, mangsa banjir

Masjid, surau diseru solat hajat adakan solat hajat doakan keselamatan negara, mangsa banjir

latifah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) meminta masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan buat negara serta seluruh mangsa yang terjejas akibat banjir yang sedang melanda beberapa negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata, beliau turut mengeluarkan arahan sama membabitkan masjid utama di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan masjid serta surau Jumaat di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Susulan situasi banjir yang sedang melanda beberapa negeri ketika ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) meminta Masjid di bawah pentadbiran Jakim iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya untuk mengadakan solat hajat pada malam ini selepas solat Isyak dan juga esok, 29 November 2024, selepas Solat Jumaat.

“Ini bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan buat negara juga seluruh mangsa yang terjejas.

“Pada masa sama, masjid dan surau Jumaat di bawah kelolaan JAWI turut diminta untuk mengadakan solat hajat pada waktu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Na’im turut meminta semua pihak supaya berhati-hati serta mematuhi arahan semasa dikeluarkan pihak berkuasa.

Beliau turut menitipkan doa agar seluruh mangsa banjir diberikan ketabahan dengan dugaan yang didepani ketika ini.

“Penghargaan juga dizahirkan kepada petugas barisan hadapan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan seluruh agensi yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir,” katanya.

Untuk rekod, mengikut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di lima negeri iaitu Kelantan, Kedah, Perak, Perlis dan Terengganu terus mencatatkan peningkatan.

Setakat 6.26 petang tadi, jumlah mangsa terjejas meningkat kepada 59,017 orang dengan Kelantan merekodkan angka tertinggi iaitu 48,159 orang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top