SEPANJANG 2024 lalu, sebanyak 966 buah masjid dibom oleh tentera Zionis Israel di Semenanjung Gaza. 151 daripadanya mengalami kerosakan. Manakala 815 buah hancur musnah sama sekali.
19 kawasan tanah perkuburan Islam turut menjadi mangsa kerakusan rejim.
Gaza kini dalam tempoh gencatan senjata. Namun kebebalan dan kejahatan mereka tidak terhenti dengan gencatan berkenaan. Bahkan ia diteruskan, khususnya di Tebing Barat.
Awal pagi Ahad lalu (2/2/2025) sebuah masjid di Kampung Arab al-Mulaihat, Utara bandar Ariha (Jericho) dibakar oleh pendatang Yahudi.
Saksi-saksi mendakwa mereka melihat beberapa orang Yahudi datang dengan sebuah kereta lalu membakar masjid dan bangsal pertanian warga Palestin. Mereka kemudian melarikan diri dengan kenderaan berkenaan.
Kedudukan kampung ini sememangnya agak sukar untuk didatangi oleh pasukan bomba. Sebelum ini ia sering kali menjadi sasaran keganasan dan perbuatan vandalism tentera dan pendatang Yahudi.
Pada 20 Februari 2024 lalu sebuah masjid dikenali sebagai Masjid Bir al-Walidain di Kampung Mardan, dekat bandar Salfit Tebing Barat dibakar oleh pengganas Yahudi. Bahagian yang tidak hangus diconteng dengan slogan-slogan berbaur rasis seperti الموت للعرب (mampuslah orang Arab).
Baru-baru ini Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam Palestin mengeluarkan kenyataan bahawa 20 buah masjid di Tebing Barat berhadapan keganasan tentera dan pendatang Yahudi berupa bakar, roboh, perbuatan mengotor dan menconteng dengan perkataan-perkataan yang keji.
Kementerian Waqaf menggesa masyarakat antarabangsa agar segera menyekat dan menghalang keganasan terhadap rumah ibadat yang dilakukan oleh pihak rejim di Gaza dan Tebing Barat. Masjid dan rumah ibadat lain seharusnya menjadi tempat yang selamat dan dilindungi oleh undang-undang antarabangsa walaupun dalam suasana perang.
Dalam pada itu Masjid al-Aqsa didapati masjid yang paling kerap diceroboh dengan pelbagai bentuk keganasan termasuk memukul dan menangkap orang Islam yang sedang beribadat di dalamnya.
Pihak tentera turut membuat sekatan bagi menghalang orang muda dari masuk ke masjid itu.
Sepanjang tahun 2024, Masjid al-Aqsa berhadapan dengan 256 kali pencerobohan pendatang Yahudi yang masuk sambal melakukan amalan ritual agama Yahudi di perkarangan masjid. Penceroboh-penceroboh ini dijamin keselamatan mereka dengan iringan dan kawalan ketat pihak polis Israel sepanjang berada dalam kawasan masjid.
25 tahun lalu, apabila Ariel Sharon menceroboh halaman Masjid al-Aqsa, ia telah membangkitkan kemarahan umat Islam dan menjadi penyebab tercetusnya Intifadhah II.
Kini menteri-menteri rejim Israel bebas menceroboh ke Masjid al-Aqsa tanpa sekatan. Itamar Ben-Gvir, Menteri Pertahanan Israel (yang baru melepaskan jawatannya 19 Januari 2025 lalu) berkali-kali keluar masuk menceroboh Masjid al-Aqsa. 7 kali sebelum menjadi menteri dan 4 kali ketika menjawat jawatan Menteri Pertahanan.
Lebih biadap, dalam salah satu pencerobohannya tahun lalu, dia mengumumkan kepada media bahawa rejim Israel akan membina sebuah biara Yahudi dalam kawasan Masjid al-Aqsa.
Ketika merayakan Hari Hanuka tahun lalu, seramai 2,567 orang pendatang Yahudi masuk sambil menari dan menyanyi lagu-lagu agama Yahudi di halaman Masjid al-Aqsa.
Pada 24 November 2024, media mendedahkan bilangan penceroboh Masjid al-Aqsa ialah seramai 62,697 orang.
Keadaan ini telah meningkatkan ketegangan di bandar Baitul Maqdis. Sehingga kini seramai 80 orang Islam terbunuh syahid, 279 cedera, 1,971 ditangkap dan 107 dihukum tahanan rumah. Manakala 389 buah rumah, kedai dan pondok di kawasan pertanian milik umat Islam telah diroboh di Batul Maqdis.
Masjid Ibrahimi di bandar al-Khalil (Hebron) tidak terkecuali dari tindakan ganas pihak rejim. Sepanjang tahun 2024 pihak pengurusan masjid menerima 674 kali arahan melarang laungan azan dan 10 kali arahan penutupan masjid.
Seramai 3,381 orang tentera direkodkan telah menceroboh masjid tempat bersemadinya jenazah Nabi Ibrahim, Nabi Ishak dan Nabi Yusuf ‘alaihimussalam ini.
USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL – HARAKAHDAILY 3/2/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
The post Masjid-masjid terancam! appeared first on Harakahdaily.