ANKARA: Masjid-masjid di seluruh Türkiye kini diterangi dengan mahya iaitu sepanduk bercahaya tradisional sepanjang separuh akhir Ramadan bagi memperkukuh kepentingan institusi kekeluargaan sempena inisiatif ‘Tahun Keluarga’ yang dilancarkan kerajaan negara itu.
Kementerian Perkhidmatan Keluarga dan Sosial Türkiye memaklumkan pelbagai mesej bertemakan keluarga dipamerkan di semua 81 wilayah, di antaranya “Keluarga adalah asas masyarakat”, “Keluarga kita, masa depan kita” dan “Syurga kita di dunia: Keluarga”.
Selain itu, turut dipaparkan ialah pesanan agama seperti “Rahmat Allah, sunnah Nabi, sebaik-baik kamu ialah yang berbuat baik kepada keluarganya”.
Menteri Perkhidmatan Keluarga dan Sosial, Mahinur Özdemir Göktaş, berkongsi video mahya di media sosial dengan menyatakan Ramadan adalah bulan bagi menghidupkan kembali nilai dan tradisi lama masyarakat.
“Dalam bulan yang penuh keberkatan ini, kita menggabungkan tradisi berzaman mahya dengan mesej mengenai tonggak terpenting dalam kehidupan—keluarga. Semoga tradisi yang indah ini, yang dijayakan sebagai sebahagian daripada ‘Tahun Keluarga’, bukan sahaja menerangi bandar-bandar kita tetapi juga hati kita. Kita semua adalah satu keluarga besar,” katanya.
Mahya merupakan amalan sejak zaman Uthmaniyyah di mana lampu-lampu digantung di antara menara masjid sepanjang bulan Ramadan bagi menyampaikan mesej berbentuk kerohanian dan sosial.
Kempen ‘Tahun Keluarga’ yang diumumkan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Januari lalu bertujuan memperkukuh nilai kekeluargaan tradisional dalam menghadapi cabaran demografi seperti kadar kelahiran yang semakin menurun.
Di bawah inisiatif ini, kerajaan Türkiye melaksanakan pelbagai program termasuk skim bantuan kewangan, pendidikan, kesihatan serta insentif untuk menggalakkan perkahwinan dan kelahiran bagi membina masyarakat yang lebih kukuh dan bersatu.