Top 6 peserta Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), Eylia Guntabid yang berasal dari Sabah ini menganggap kritikan netizen terhadap fizikal dan rupa parasnya sebagai satu penguat semangat untuk terus memperbaiki diri.
Ketika ditemui XTRA, Eylia mendedahkan dia sering menjadi mangsa ‘body shaming’ sejak berada di bangku sekolah, oleh itu dia berusaha untuk menjaga penampilan dan pemakanan terutamanya selepas menyertai pertandingan One In A Million.
“Isu body shaming ni dah jadi lumrah dalam industri. Ia kisah lampau saya. Saya tak menafikan kalau nak pergi jauh memang kena jaga penampilan diri. Sebab bakat dah ramai yang ada.
“Dulu zaman sekolah lagi teruk saya kena buli. Tambahan kempen kesedaran mengenai gejala buli pada masa itu tidak banyak. Dulu semasa saya kena body shaming berat saya mencecah 100 kilogram. Orang tak percaya pada bakat saya sebab mereka pandang paras rupa. Saya tak ambil peduli malah, cuba memperbaiki diri.
“Sekarang bila nampak isu seperti itu timbul, saya berasa kecewa sedikit sahaja. Selebihnya saya terima sebab saya sedang berusaha untuk diet dan jaga penampilan.
“Pada saya, bakat nombor satu tetapi dalam masa yang sama penampilan perlu dijaga kerana ia mendatangkan kelebihan untuk orang menyukai kita,” katanya yang bersetuju bakat dan paras rupa perlu seiring.
Eylia berkata demikian ketika ditemui selepas sesi latihan bersama Khai Bahar sempena konsert CSOIAM untuk minggu ke-6 mengakui teruja untuk bekerjasama dengan penyanyi tersebut.
“Mula-mula saya gementar sebab dia artis lelaki Malaysia yang disukai ramai. Tetapi apabila berjumpa dengannya, semuanya berjalan lancar. Kami senang dapat chemistry. Saya selesa dapat bekerjasama dengan Khai,” katanya.
Bakal membawakan lagu ‘Dua Insan Bercinta’ nyanyian asal penyanyi Ratu Rock tanah air, Ella pada Ahad ini, Eylia dan Khai janji akan memberikan persembahan yang terbaik versi mereka sendiri.
Pada minggu ke-6 CSOIAM, semua peserta iaitu Mary Grace, Zazzleen, Jimi, Mariam, Eylia dan Khai Deva masing-masing akan berduet bersama penyanyi artis popular seperti Marsha Milan, Amir Masdi, Shiha Zikir, Aisha Retno, Khai Bahar, dan Haqiem Rusli.
Teruskan menyaksikan Calpis Soda One In A Million secara langsung di TV3, setiap Ahad, jam 9.00 malam, atau strim secara HD di Tonton.
Jangan lepaskan peluang untuk menonton program berprestij ini setiap minggu untuk peluang menangi hadiah berupa sebuah PEUGEOT Landtrek bernilai RM123,000 bagi mereka yang bertuah!
Jangan terlepas untuk merasai keterujaan sorotan eksklusif pengalaman peserta melalui Calpis Soda One In A Million: Fizz Journal, yang bersiaran setiap Khamis hingga Sabtu, jam 9.00 malam.
Ikuti perkembangan terkini di media sosial @CalpisSodaOIAMTV3 dan gunakan hashtag #OIAM untuk berinteraksi mengenai program ini.