Pelakon jelita, Mira Filzah mendedahkan anak lelakinya, Wan Khair Amir Wan Emir Astar sudah diintai jenama besar dan rumah produksi sejak berusia 3 bulan lagi.
Pemilik nama Nur Amirah Filzah Badioezaman berkata, dia dan suami terbuka memberi ruang kepada anak mereka terbabit dalam bidang komersial. Bagaimanapun, mereka akan menapis tawaran mengikut kesesuaian usianya.
“Memang ada yang risik-risik mengenai kesedian saya melepaskan Amir ke dunia komersial sama ada membabitkan iklan mahupun berlakon,”ujarnya.
Jelas aktres berusia 29 tahun, dia akan mempertimbangkan sekiranya kempen tersebut hanya mengambil tempoh singkat. Namun, lain pula jika ia melibatkan dalam dunia lakonan.
“Cuma terbabit dalam lakonan mungkin bukan dalam waktu terdekat sebab dia masih terlalu kecil,” katanya.
Selain itu, Mira juga memberitahu sebenarnya sudah ada beberapa penampilan dia bersama Amir untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan yang menggunakan platform media sosial.
Ditambah pula anak sulungnya itu suka tengok kamera seperti mana yang ditunjukkan ketika mereka menjalani kempen bagi sebuah produk dari Korea Selatan.
“Amir pun suka tengok kamera. Dia bukan ‘camera shy’,”katanya.
Sementara itu, pelakon drama The Hotel memaklumkan dia akan kembali aktif dalam dunia lakonan pada tahun hadapan dan sudah pun mendapat tawaran sebaik sahaja tamat berpantang.
Sekadar info, Mira dan suami, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar berkahwin pada 3 September 2020. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Khair Amir Wan Emir Astar pada 10 Mei lalu.
Sumber: Instagram @mfmirafilzah, Kosmo (Hanisah Selamat)