Masih Cari Calon Isteri, Nadhir Nasar Tertarik Wanita Asal Kelantan – “Mereka Ada Aura, Pandai Memasak”

Masih Cari Calon Isteri, Nadhir Nasar Tertarik Wanita Asal Kelantan – “Mereka Ada Aura, Pandai Memasak”

Pelakon Nadhir Nasar mendedahkan dia masih mencari wanita dari Kelantan sebagai calon isteri, memandangkan usianya bakal mencecah angka 30 pada tahun hadapan.

Menurut juara Hero Remaja ini, wanita yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang mempunyai daya tarikan tersendiri yang sesuai dengan personalitinya.

“Entahlah, saya rasa wanita Kelantan ini ada satu aura yang sangat dekat dengan personaliti saya. Antara perkara yang buat saya minat wanita dari Kelantan ini kerana mereka pandai memasak,” katanya.

Nadhir turut berkongsi bahawa minatnya terhadap masakan Kelantan, terutama budu, menjadi salah satu faktor yang membuatkan dia lebih cenderung mencari pasangan dari negeri tersebut.

“Saya tidak mengenali mana-mana wanita Kelantan sekarang ini. Saya ada ramai kenalan yang berasal dari negeri itu, cuma sebagai seseorang yang membesar di Perak, saya nampak perbezaan di antara Kelantan dan Perak… Ia agak menyeronokkan.

“Selain itu, saya mencari wanita dari Kelantan disebabkan saya ini penggemar budu,” tambahnya.

Namun, pelakon itu mengakui masih belum menemui wanita yang tepat kerana kesibukan kerja yang padat menjadi cabaran utama dalam soal mencari pasangan hidup.

“Bulan lepas saja saya hanya ada sehari untuk cuti rehat, begitu juga dengan bulan ini saya ada masa berehat sekitar dua hingga tiga hari saja.

“Saya akui untuk menjadi kepunyaan seseorang pada masa sekarang agak susah, tapi saya percaya individu itu ada, cuma belum jumpa lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nadhir turut menepis spekulasi bahawa dia sudah mempunyai teman istimewa, seperti yang hangat diperkatakan netizen di media sosial.

“Saya akui ada ramai yang membuat andaian saya sedang mempunyai hubungan dengan seseorang, jujur saya okey saja.

“Cuma privasi tetap menjadi keutamaan saya. Kadang-kadang benda itu tak betul hingga menjejaskan kedua-dua pihak. Cuma untuk saya, spekulasi itu tak betul,” katanya kepada XTRA.

Nadhir ditemui pada acara bertemu peminat bersempena kempen ‘Bulan Bintang Sedekad Menyinar Takluk The Starhill’ di Bukit Bintang, malam tadi bersempena pembukaan ‘pop-up store’ serta pameran khas sempena ulang tahun ke-10 jenama itu bermula dari 12 hingga 23 Mac ini.

Selain Nadhir, duta jenama fesyen terbabit iaitu Shukri Yahaya, Mierul Aiman dan Syafiq Kyle turut turun padang bertemu peminat dan memeriahkan acara itu.

Scroll to Top