georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kugiran Masdo tercalon sebagai wakil Malaysia dalam kategori Artis Asia Terbaik di acara berprestij Anugerah MTV EMA 2024 yang akan berlangsung di Manchester, England pada 11 November ini.
Penyanyinya, Ali Sariah, 32, berkata, pencalonan itu satu pencapaian sangat bermakna buat mereka, namun enggan meletakkan harapan besar kerana perlu bersaing dengan artis hebat lain dari seluruh Asia.
“Kami mendapat pengesahan mengenai pencalonan itu sekitar seminggu yang lalu. Seperti biasa, kami tidak meletakkan harapan yang tinggi. Dapat tercalon pun sudah cukup berpuas hati.
“Sekiranya menang, memang satu bonus buat Masdo. Setakat ini, belum ada sebarang kepastian lagi kami akan menghadiri acara itu nanti,” katanya.
Artis Asia lain yang tercalon dalam kategori itu adalah Mahalini dari Indonesia, ILLIT (Korea Selatan), BINI (Filipina), dan Sakurazaka46 (Jepun).
Penentuan pemenang akan dibuat menerusi undian yang mana sudah dibuka menerusi laman web rasmi anugerah itu.
MTV EMA adalah acara meraikan industri muzik dan budaya pop seluruh dunia dan dihadiri nama-nama hebat dalam industri hiburan.
Pencalonan tahun ini menyaksikan dominasi artis wanita dan bintang pop sensasi, Taylor Swift mendapat pencalonan terbanyak iaitu tujuh kategori termasuk Artis Terbaik, Video Terbaik, Pop Terbaik, dan lain-lain.
Turut unggul tercalon adalah Billie Eilish, Arian Grande, Charlie XCX, Sabrina Carpenter, Ayra Starr, Beyonce, Kendrick Lamar, dan LISA.
© New Straits Times Press (M) Bhd