Martinelli jadi wira bantu Arsenal tumbangkan Man City

Martinelli jadi wira bantu Arsenal tumbangkan Man City

LONDON: Pasukan Arsenal mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menumbangkan penyandang juara, Manchester City 1-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Emirates sebentar tadi.

Ini dianggap sebagai pertembungan hangat antara dua pasukan yang berpotensi mencabar liga, namun hampir keseluruhan perlawanan berlangsung dengan agak hambar.

Isu pengadil di EPL sekali lagi menjadi tumpuan setelah pemain City, Mateo Kovacic melakukan terjahan keras terhadap pemain Arsenal, Martin Odegaard namun pengadil bertugas, Michael Oliver hanya melayangkan kad kuning sahaja kepada pertahanan City itu.

Tiada percubaan menarik disajikan kedua-dua pasukan, termasuklah kelibat penyerang sensasi, Erling Haaland yang langsung tidak berpeluang membuat sebarang percubaan tepat dalam perlawanan ini.

Tatkala kedua-dua pasukan seakan menamatkan perlawanan dengan keputusan seri tanpa jaringan, Gabriel Martinelli melakukan rembatan kencang yang terkena muka pertahanan City, Nathan Ake lalu bola membias menuju ke dalam gawang sekaligus menjadi gol kemenangan Arsenal dalam perlawanan ini.

Keputusan ini meletakkan Arsenal kini di tangga kedua liga dengan 20 mata, hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan dengan pendahulu sedia ada, Tottenham Hotspurs.

City pula kini jatuh ke tangga ketiga liga dengan mengumpul 18 mata.

Scroll to Top