Martin Stano ganti Kim Swee di Sabah FC

Martin Stano ganti Kim Swee di Sabah FC

GERGASI Liga Super, Sabah FC melantik Martin Stano sebagai pengendali baharu The Rhinos menggantikan Datuk Ong Kim Swee yang mengalas cabaran baharu bersama kelab Indonesia, Persis Solo.

Menurut Rhinos, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini memberikan tempoh hingga 10 Disember untuk Rhinos melantik pengendali baharu yang memiliki Lesen Pro.

Jelasnya, Stano, 47, dari Slovakia bersama Rhinos sebagai jurulatih kecergasan dua tahun lalu dibantu penolong pengendali Alto Linus.

“Posisi Stano sebelum ini pula akan diambil Muhamadin Abdul Ajid daripada Sabah FC II hingga berakhir saingan musim 2024/2025

“Sebelum ini Alto Linus dilantik sebagai pengendali sementara dengan Martin Stano sebagai penolong pengendali sementara yang juga merangkap jurulatih kecergasan.

“Pelantikan dalam kalangan barisan kejurulatihan sedia ada bagi memastikan momentum kemenangan serta pendekatan pasukan dapat diteruskan dan tidak menjejaskan prestasi pasukan,” kata kelab Kepulauan Borneo itu pada Selasa.

Pengurusan Sabah FC berharap gandingan kejurulatihan baharu ini dapat meneruskan kesinambungan seperti dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini hingga ke akhir musim.

“Kami sentiasa mengharapkan sokongan berterusan penyokong-penyokong untuk memastikan kejayaan pasukan memperbaiki kedudukan di carta liga dan terus mara ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala Malaysia,” katanya.

Scroll to Top