Martin harap dapat kembali berlumba di Qatar

Martin harap dapat kembali berlumba di Qatar

Paris: Juara bertahan MotoGP, Jorge Martin, yang mengalami dua kemalangan pada sesi ujian pramusim berkata, dia berharap dapat kembali berlumba pada pusingan keempat tahun ini.

Pelumba Sepanyol itu terlepas dua perlumbaan pembukaan dan sudah mengumumkan bahawa dirinya tidak akan bertanding di Austin, Texas pada 29 dan 30 Mac.

Perlumbaan seterusnya dijadualkan berlangsung di Lusail, Qatar pada 12 dan 13 April.

“Saya menjangkakan untuk berada di Qatar, tetapi hanya jika ia tidak mendatangkan sebarang risiko,” kata pelumba Aprilia itu kepada akhbar sukan Itali, Gazzetta dello Sport.

“Ini adalah jangka masa pemulihan yang perlu diikuti, dan adalah satu kesilapan jika saya tergesa-gesa, kerana itu hanya akan membuatkan segalanya mengambil masa lebih lama,” tambahnya lagi.

Martin terlepas hampir keseluruhan sesi ujian pramusim selepas mengalami patah tangan kanan dan kaki dalam kemalangan pada hari pertama sesi ujian di Malaysia.

Dalam kemas kini di media sosial, dia menjelaskan bahawa dirinya mengalami satu lagi kemalangan “dengan impak besar” ketika menjalani latihan menggunakan motosikal supermoto di kawasan berbukit sebagai persediaan untuk kembali berlumba.

Sambil menunjukkan ke beberapa bahagian tubuhnya, Martin menyenaraikan kecederaannya: patah tulang radius dan scaphoid di pergelangan tangan kiri, empat retakan pada kaki kiri, serta kecederaan otot di tulang rusuk kanan.

Martin kini ketinggalan 74 mata di belakang juara dunia enam kali, Marc Marquez, yang memenangi kedua-dua perlumbaan utama serta dua perlumbaan pecut dalam musim pertamanya bersama pasukan pengeluar Ducati.

“Marc menang bukanlah sesuatu yang tidak dijangka,” katanya kepada Gazzetta.

Namun, pelumba berusia 27 tahun itu yakin proses pemulihannya berjalan dengan baik.

“Ia adalah tempoh yang sukar, tetapi kini saya mula melihat cahaya di hujung terowong,” katanya di media sosial.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top