Barcelona: Jorge Martin dari Prima Pramac Racing dinobatkan sebagai juara dunia MotoGP 2024 selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada Grand Prix Solidarity, perlumbaan terakhir musim ini yang dimenangi oleh pesaingnya, Francesco Bagnaia dari Ducati.
Martin tampil pada perlumbaan akhir dengan kelebihan 19 mata dan hanya perlu berada dalam sembilan tempat teratas untuk mengesahkan kejuaraan jika Bagnaia, yang bermula di petak pertama dan juara dunia dua kali, memenangi perlumbaan itu.
Marc Marquez dari Gresini Racing pula menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Bagnaia atau Pecco, melakukan segala yang mungkin untuk merapatkan jurang dalam perebutan gelaran, dengan kemenangan di grand prix terakhir menjadi kemenangan ke-11 untuknya musim ini.
Namun, 32 podium diraih Martin dalam perlumbaan utama dan pecut membolehkannya muncul juara dunia dengan kelebihan 10 mata.
Bagnaia dan Martin memulakan perlumbaan dengan hebat apabila kedua-dua pesaing gelaran juara dunia itu memasuki selekoh pertama di tempat pertama dan kedua.
Marquez, di tempat ketiga, berjaya memintas Martin di selekoh pertama pada pusingan kedua.
Enea Bastianini segera memberi tekanan kepada Martin, tetapi pelumba Ducati itu tidak menyedari kehadiran Aleix Espargaro dari Aprilia di belakangnya.
Espargaro menggunakan peluang untuk memintas dan menduduki tempat keempat dalam perlumbaan terakhirnya di halaman sendiri.
Tiga pelumba teratas mengekalkan kedudukan masing-masing sepanjang beberapa pusingan seterusnya, dengan Martin tidak menghadapi tekanan di tempat ketiga sementara Espargaro mempertahankan kedudukan keempat dalam pertarungan sengit dengan Alex Marquez.
Bagnaia akhirnya muncul pemenang manakala bakal rakan sepasukannya, Marc Marquez di tempat kedua.
Namun pelumba Itali itu serta pasukan Ducati hanya mampu melihat Martin menamatkan perlumbaan di tempat ketiga sekali gus mengesahkan gelaran juara dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd