Drama yang kini mencuri perhatian ramai di TV3, iaitu Keluarga Itu terus memikat penonton dengan jalan ceritanya yang sarat dengan emosi.
Justeru, bagi melengkapkan kehebatan drama ini, lagu runut bunyi (OST) berjudul Tangisan Seorang Pendosa, nyanyian Marsha Milan ternyata hadir dengan penghayatan mendalam serta mencerminkan perjalanan watak Dhamiah, lakonan hebat Puteri Balqis.
Lagu Tangisan Pendosa ini adalah hasilan nukilan penyanyi Hazama dan dicipta oleh Marsha ini sekaligus mengangkat tema keinsafan dan pergolakan jiwa yang kuat, selari dengan kisah tragis Dhamiah.
“Lagu ini diinspirasikan oleh drama Keluarga Itu, dari sudut pandang watak Puteri Balqis. Saya cuba menyampaikan emosi Dhamiah yang penuh dengan kesedihan dan penderitaan,” jelas Hazama.
Manakala, Marsha berkata, melodi lagu tersebut dicipta bagi mendalami emosi watak Dhamiah dan ia bukan sekadar lagu tetapi luahan jiwa.
“Melodi lagu ini dicipta dengan penuh rasa untuk menggambarkan kedalaman emosi watak dan menjadikan ia lebih daripada sekadar lagu.
“Ia juga adalah luahan jiwa yang tulus dan bermakna,” katanya.
Lirik Tangisan Seorang Pendosa menceritakan tentang perjuangan seorang insan yang dihantui masa silam dan diliputi rasa penyesalan.
Walaupun berusaha untuk bangkit dan berubah, dia tetap rasa tidak didengari, terkandas dalam kemurungan dan konflik dalaman antara harapan serta kenyataan.
Lagu ini juga menggambarkan kesedaran diri sebagai seorang pendosa.
Berkongsi lanjut, Marsha mengakui proses rakaman lagu ini agak mencabar terutamanya dari segi emosi.
“Saya ambil masa dua hari untuk proses rakaman bagi memastikan setiap emosi dapat disampaikan dengan tepat,” jelasnya.
Justeru, kolaborasi antara Marsha Milan dan Hazama ini ternyata membuahkan satu naskhah yang penuh makna dan ia bukan sahaja sekadar lagu tetapi jiwa kepada drama Keluarga Itu.
Jangan lepaskan peluang untuk menyelami emosi mendalam drama ini menerusi Tangisan Seorang Pendosa, yang kini boleh dinikmati di semua platform penstriman seperti Spotify dan YouTube Music.
Saksikan Keluarga Itu yang dibintangi barisan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Muaz Zabir, Puteri Balqis, Amir Ahnaf, Melissa Campbell, dan Izara Aishah, setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam di TV3, atau strim 24 jam lebih awal di Tonton.
Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, ikuti laman rasmi mereka di Facebook, serta @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.