Marsha manfaat peluang promosi budaya Malaysia

Marsha manfaat peluang promosi budaya Malaysia

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi, Marsha Milan Londoh, 39, terpilih wakil negara untuk membuat persembahan dalam ASEAN : Korea Music Festival 2025 Round yang akan berlangsung di Malaysia pada Jun nanti.

Festival yang menghimpunkan karyawan seni muzik dari 10 negara ASEAN dan Korea bagi berkongsi muzik mereka dengan penonton global, sekali gus mencipta pengalaman festival muzik yang tidak dapat dilupakan.

Menariknya pada tahun ini Malaysia terpilih menjadi tuan rumah.

Selain Marsha, turut terpilih mewakili negara adalah kumpulan pop sensasi, Dolla

Menurut Marsha, dia mungkin mempersembahkan lagu dialek Sabah pada festival itu.

“Saya mungkin akan menyanyikan lagu dari album Sabahan saya. Selagi mana ada platform yang mampu untuk saya mempromosikan budaya di Malaysia, saya akan gunakan peluang ini sebaik mungkin.

“Sebenarnya saya belum terfikir lagi mengenai pilihan lagu tetapi saya diarahkan untuk menyanyi lagu dalam tempoh 15 hingga 20 minit,” kata Marsha juga juara Anugerah Juara Lagu 39 (AJL 39).

Mengulas mengenai kerjaya seni, Marsha berkongsi bakal melancarkan album solo tidak lama lagi.

“Walaupun saya ada keluarkan album Borneo, saya juga akan ada album solo yang akan menyusul nanti. Masih dalam proses menunggu lagu. Itu kena tunggu lama.

“Proses rakaman sudah habis dalam 30 peratus jadi berbaki lagi 70 peratus yang harus disiapkan,” katanya.

Mengenai isu lagu Hening Rindu yang dinyanyikan Marsha, sebenarnya banyak desas desus mengatakan kepunyaan asal lagu berkenaan ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Saya dengar ramai sangat nama, bukan sahaja Tokti (Datuk Seri Siti Nurhaliza) malah ramai lagi. Saya anggap ini rezeki buat saya untuk menyanyikan lagu ini. Sebenarnya , banyak lagu yang dikatakan kepunyaan penyanyi lain.

“Namun, tidak pasti genre tidak sesuai atau penyanyi berkenaan tidak bersedia menyanyikan lagu itu. Banyak lagu yang bersifatkan runut bunyi ini mempunyai tempoh masa tersendiri.

“Mungkin itu juga faktor rezeki lagu tersebut berpihak kepada saya dan kebetulan lagu itu juga menyumbang kepada kejayaan dalam AJL 39,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top