Buriram, Thailand: Juara dunia enam kali, Marc Marquez, mencipta catatan sepusingan terpantas dalam ujian pra musim pertama di litar Buriram dengan catatan 1 minit 29.184 saat (s), hari ini.
Sesi dua hari itu diadakan dua minggu sebelum bermulanya musim MotoGP 2025 . Marc Marquez muncul terpantas, di depan abangnya, Alex Marquez yang mencatatkan 1 minit 29.649s manakala pelumba Itali, Franco Morbidelli, dengan 1 minit 29.683s.
Ia prestasi cemerlang kali pertama dilakukan Marc Marquez dalam sut berwarna merah Ducati, yang disertainya pada Januari lalu untuk membentuk gandingan berbakat bersama Francesco Bagnaia dari Itali, bagi merebut gelaran juara.
Rakan sepasukannya, Bagnaia, berada di tempat kelapan dengan masa 1minit 30.028s. Sesi ujian tersebut berlangsung dalam cuaca panas melampau, dengan suhu melebihi 37 darjah Celsius sekali gus memberi pelumba gambaran suasana bakal mereka hadapi di Grand Prix pertama musim ini, di litar yang sama pada 2 Mac.
Juara bertahan, Jorge Martin dari Sepanyol, terpaksa berehat akibat kecederaan pada tangan kanan selepas terjatuh di Malaysia, yang memerlukan pembedahan.
Semua pasukan akan menjalani satu lagi ujian esok sebelum musim terpanjang dalam sejarah bermula, dengan 22 tarikh dijadualkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd