Trenton (Kanada): Mark Carney dipilih sebagai pemimpin baharu Parti Liberal selepas memperoleh majoriti besar pada pusingan pertama undian, sekali gus bakal menjadi Perdana Menteri Kanada, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Bekas Ketua Bank Kanada itu memperoleh 85.9 peratus undi, menewaskan pencabarnya, bekas Timbalan Perdana Menteri Chrystia Freeland yang hanya meraih lapan peratus.
Dua lagi calon masing-masing memperoleh sekitar tiga peratus undi.
Carney mencipta sejarah sebagai pemimpin Parti Liberal pertama yang dilantik sebagai perdana menteri tanpa pernah memegang jawatan politik sebelum ini.
Dalam ucapannya di hadapan perwakilan, beliau menegaskan keperluan sokongan padu bagi menghadapi cabaran mendatang.
Beliau dipercayai merujuk kepada dasar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengenakan tarif ke atas barangan import dari Kanada.
Tarif itu dijangka menjejaskan ekonomi negara, di tengah spekulasi bahawa Trump berharap ia membawa kepada penggabungan Kanada sebagai negeri ke-51.
“Saya berikrar kepada anda dan seluruh rakyat Kanada bahawa saya akan mempertahankan negara ini,” kata Carney.
© New Straits Times Press (M) Bhd