PENGURUS Chelsea, Enzo Maresca tidak menafikan kualiti luar biasa yang dimiliki penyerang Ipswich Town, Liam Delap, namun menegaskan tumpuannya kekal untuk memastikan kemenangan ke atas kelab yang sedang bergelut di zon penyingkiran itu.
Delap, 21, menjadi tumpuan selepas meledak 12 gol dalam musim sulungnya di Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus menarik minat beberapa kelab utama termasuk Chelsea yang dikhabarkan berminat mendapatkan khidmatnya.
Namun menjelang aksi di Stamford Bridge pada Ahad, Maresca tampil meredakan spekulasi perpindahan pemain muda itu yang pernah dibimbingnya ketika bersama Manchester City.
“Dia memang luar biasa – bukan hanya dari segi gol, tetapi bagaimana dia membaca permainan, tekan lawan, dan komitmen di atas padang,” ujar Maresca dalam sidang media pra-perlawanan.
“Tapi jangan lupa, buat masa ini dia pemain Ipswich. Dan Ahad ini, dia adalah lawan yang perlu kami kalahkan. Selepas itu, saya hanya boleh doakan yang terbaik untuk kariernya,” katanya lagi.
Delap sebelum ini menjaringkan gol pembukaan dalam pertemuan pertama musim ini menentang Chelsea – sesuatu yang kekal dalam ingatan Maresca.
“Jika anda tonton perlawanan Ipswich, dia mengancam mana-mana pertahanan. Tapi dalam aksi pertama, dia benar-benar beri masalah kepada kami.
“Kali ini, kami perlu lebih bersedia – cari jalan untuk mengekangnya dan pastikan kami tampil jauh lebih baik,” tambah pengendali The Blues itu.
Dalam pada itu, Maresca turut menyatakan keyakinannya terhadap penyerang sedia ada Chelsea, Nicolas Jackson, meskipun desakan semakin kuat untuk menambah penyerang baharu musim depan.
LIGA PERDANA INGGERIS
AHAD (13 APRIL)
Chelsea lwn Ipswich Town, 9 malam
Wolverhampton Wanderers lwnTottenham Hotspur, 9 malam
Liverpool lwn West Ham United, 9 malam
Newcastle United lwn Manchester United, 11.30 malam
SELASA (15 APRIL)
Bournemouth lwn Fulham, 9 malam